PETALING JAYA – Polis menahan 23 lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini petang semalam, sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dan Perak FC.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden rusuhan itu daripada orang awam jam 5 petang.
“Lima mangsa lelaki tempatan mengalami kecederaan manakala sebuah kereta turut dirosakkan dalam insiden itu.
“Pasukan Op Cantas Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya dan Task Force Balai Kelana Jaya menahan dua bas persiaran yang membawa 119 penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, 23 penumpang kesemuanya lelaki tempatan berusia lingkungan 16 hingga 36 tahun ditahan dalam pemeriksaan itu.
Katanya, pihak polis sedang memburu dua lagi suspek yang masih bebas disyaki terbabit dalam insiden itu bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati, empat daripada suspek mempunyai pelbagai rekod dadah dan jenayah lampau dan salah seorang masih dikehendaki di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).
“Ujian saringan air kencing mendapati 12 daripada suspek positif dadah. Kesemua suspek direman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(C)b serta Seksyen 15 (1)(C) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Semalam, tular menerusi media sosial video berdurasi 44 saat dan tiga keping gambar memaparkan pergaduhan sekumpulan individu serta kenderaan yang rosak akibat pergaduhan yang berlaku di Stadium MBPJ sebelum perlawanan antara Selangor FC dan Perak FC berlangsung. – BH