Menghalang Pemimpin UMNO Terbabit Kes Mahkamah Bertanding PRU-15 Adalah Langkah Anti-Demokrasi:

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Penulis bukanlah seorang ahli UMNO atau pada ketika ini terlibat dalam mana-mana gerakan politik di Malaysia. Namun apabila melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin muda UMNO yang mencadangkan agar semua pemimpin yang berhadapan dengan kes mahkamah untuk tidak bertanding pada PRU-15 akan datang, penulis terpanggil untuk menyatakan pendapat kerana ini adalah bercanggah dengan konsep demokrasi dan undang-undang Malaysia.

Melalui sistem perundangan yang kita amalkan` pada ketika ini, konsep “Innocent Until Proven Guilty” atau tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah adalah suatu perkara yang perlu diambil kira sebelum kita menghukum seseorang di atas sesuatu kesalahan tertentu. Perkara ini bukan hanya terpakai di dalam sistem perundangan Malaysia sahaja, tetapi semua negara di dunia mengamalkan konsep dan prinsip ini bagi memastikan tiada pihak yang dihukum lebih awal sebelum diberikan peluang untuk membela diri dan diadili di dalam mahkamah secara adil dan saksama.

Perkara ini juga selaras dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) yang didokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meletakkan dasar ini didalam Perkara 11 yang menyatakan bahawa, setiap orang yang dituduh dengan kesalahan keseksaan adalah berhak dianggap tidak salah sehingga dibuktikan salah menurut undang-undang di dalam perbicaraan terbuka di mana dia telah diberikan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.

Tiada sesiapa pun boleh diputuskan bersalah atas sebarang kesalahan keseksaan oleh kerana sebarang tindakan atau ketinggalan yang tidak merupakan suatu kesalahan kesiksaan, di sisi undang-undang kebangsaan atau antarabangsa, pada masa ianya dilakukan. Tiada pula boleh dikenakan sebarang hukuman yang lebih berat dari hukuman yang terpakai ketika kesalahan keseksaan itu dilakukan.

Penulis faham akan natijah utama para pimpinan muda UMNO untuk parti itu menjauhkan diri dari isu-isu tertentu kerana khuatir ia akan menjejaskan prestasi parti tersebut di dalam PRU-15 akan datang. Ini semuanya hanya kerana isu imej dan persepsi yang disangka akan menyusahkan lagi UMNO/BN untuk memegang tampuk pemerintahan semula.

Namun begitu, adalah tidak adil untuk UMNO sendiri menghukum mana-mana ahli atau pemimpin mereka sendiri sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Malaysia. Dengan menyarankan seseorang ahli politik atau pemimpin parti untuk tidak bertanding hanya kerana telah dituduh di mahkamah adalah satu perkara yang merugikan parti UMNO dan juga Barisan Nasional.

Perkara ini telah terjadi di dalam Parti Keadilan Rakyat, yang mana pemimpin utamanya pada ketika itu, Rafizi Ramli telah mengambil pendekatan untuk tidak bertanding pada PRU-14 atas sebab sedang menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 97(1) BAFIA, mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat. Beliau didapati tidak bersalah oleh mahkamah tinggi, namun tidak bertanding kerana kes tersebut masih lagi berada di peringkat rayuan pihak Pendakwa Raya dan hasilnya beliau telah dibebaskan kerana Pejabat Peguam Negara menarik balik rayuan tersebut. Perkara ini semestinya telah merugikan PKR yang pada ketika itu telah memegang tampuk pemerintahan negara di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

Dari sudut politik pula, tiada parti lain selain UMNO yang sering menyanggah kepimpinan atau ahli parti sendiri berkenaan isu pertuduhan di Mahkamah. Ini menunjukkan sama ada UMNO sudah hilang keyakinan diri ataupun terdapat satu permasalahan dalaman yang sedang berlaku di dalam parti tersebut.

Sebagai contoh, jika kita lihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), belum pernah lagi kedengaran (mungkin ada tapi penulis tidak tahu) mana-mana ahli atau pimpinan muda parti tersebut menyuruh YB Lim Guan Eng untuk meletak jawatan atau tidak bertanding, walaupun isu terowong dan kes-kes berkaitan dengannya masih lagi belum mendapat apa-apa kata putus dari sistem keadilan negara ini.

Sebagai suara orang muda di dalam UMNO, para pemimpin baru di dalam sayap Pemuda UMNO perlu mengutarakan cadangan yang progresif untuk memastikan parti tersebut untuk terus releven di mata masyarakat. Kritikan terhadap parti sendiri boleh dilakukan di dalam ruang mesyuarat parti dan juga melalui saluran yang betul.

Mahu atau tidak, para pemimpin muda UMNO perlu mengakui bahawa pemimpin-pemimpin UMNO yang pada ketika ini sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah, pernah berjasa dengan parti dan juga orang Melayu secara keseluruhannya. Untuk menidakkan hak mereka untuk bertanding, adalah satu perkara yang dangkal, lebih-lebih lagi para pemimpin veteran yang masih lagi mempunyai pengaruh dan penyokong yang ramai dikalangan rakyat di akar umbi.

Janganlah kita menghukum mereka ini sebelum mahkamah mendapati mereka bersalah di atas pertuduhan-pertuduhan yang sedang mereka hadapi. Berikan peluang untuk mereka membela diri, dan sekiranya bersalah secara automatik mereka tidak lagi boleh bertanding di dalam mana-mana pilihanraya umum atau pilihanraya kecil.

Sebelum perkara itu berlaku ada baiknya UMNO terus mencari formula untuk terus memperjuangkan nasib orang-orang Melayu Islam dan berusaha keras untuk memenangi hati seluruh rakyat Malaysia di dalam pilihanraya umum akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat