Hentikan Amalan Dua Darjat Dalam Pendakwaan ‘Kayangan’ – Peguam Pejuang

KUALA LUMPUR – “Adakah pihak pendakwaan tidak lagi berminat untuk menjalankan tugas dan amanah untuk
membela kepentingan awam? Atau adakah pihak pendakwaan bersedia untuk mengenepikan prinsip asasi keadilan bila mana wujud permohonan daripada kes-kes berprofil tinggi seperti ini?

Demikian persoalan yang dibangkitkan Ketua Peguam Pejuang, Mior Nor Haidir yang menyatakan kebimbangan dengan pemulangan semula pasport serta dokumen perjalanan kepada Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor serta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Menurutnya, keempat-empat individu ini sedang berhadapan dengan pertuduhan dan rayuan yang masih tidak dilupuskan terkait dengan jenayah komersial dan/atau penggubahan wang haram dan/atau salahguna kuasa dan/atau pengelakan cukai dan pada masa yang sama melibatkan dana awam.

“Kesemua permohonan tersebut tidak pernah dibantah oleh pihak pendakwaan dan ini mempamerkan satu imej buruk dan menggugat kepercayaan rakyat kepada institusi perundangan negara.

“Paling mengecewakan adalah antara alasan yang dikemukakan oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah untuk pelepasan pasport beliau bagi tujuan urusan anaknya belajar di New York, Amerika Syarikat. Ini adalah satu alasan yang amat lemah dan sudah pasti akan sentiasa dibantah oleh pihak pendakwaan jika ianya adalah permohonan dari orang awam yang menghadapi pertuduhan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mior menambah, Shafee kini kini sedang berhadapan dengan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang diterima daripada Najib.

Hal demikian Peguam Pejuang mendesak agar pihak pendakwaan untuk berhenti “berlepas tangan dan bersikap “menutup sebelah mata” terhadap apa jua permohonan yang berupa sedemikian.

“Hentikan sebarang ketidakadilan amalan dua darjat yang ditentang keras oleh rakyat.

” Apabila rakyat atau pelajar tidak membayar PTPTN selama beberapa bulan yang jumlahnya sekelumit berbanding jutaan, malah berbilion ringgit yang dihadapi boleh pihak-pihak “kayangan”, pelajar dan rakyat biasa disenaraihitamkan dan dilarang untuk ke luar negara.

” Ini satu bentuk “double standard”, penghinaan kepada rakyat biasa dan mengenepikan keadilan asasi dan kemanusiaan,” tegasnya.