Najib Dibenar Pinda Tarikh Ke Singapura

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya buat sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang kini di negara itu dan bakal melahirkan anak kedua bulan November ini.

Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan Najib mendapatkan pasportnya daripada 20 Oktober lalu dan dipulangkan semula pada 22 November ini.

Tiga hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa membenarkan Najib meminda tarikh itu kepada 25 Oktober lalu sehingga 6 Disember ini.

Najib memohon untuk meminda tarikh berkenaan kerana beliau terpaksa menangguhkan perjalanan ke Singapura bagi membantu jentera parti UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November depan.

Ini disebabkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada ketika itu akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi sakit belakangnya.

Najib berkata, beliau diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajarnya ketika ketiadaan Ahmad Zahid.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.