KUALA LUMPUR – Dua Adun Bersatu Pahang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) akan datang.
Wakil rakyat Bersatu tersebut adalah Adun Kuala Sentul Datuk Jasri Jamaludin dan Adun Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus.
DUN Kuala Sentul terletak di Parlimen Maran manakala Lepar di bawah Paya Besar.
Mereka dalam kenyataan bersama berkata, keputusan itu dipersetujui oleh pucuk pimpinan Bersatu demi menjamin kestabilan politik di Pahang dan memelihara kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan berkenaan, menurut Utusan di Kuantan pada Rabu.
Jasri dan Yazid menyatakan, muafakat bersama Menteri Besar itu memberi keyakinan bahawa fokus kerajaan negeri akan terus ditumpukan kepada pembangunan dan kesejahteraan penduduk di DUN Kuala Sentul dan DUN Lepar.
”Kami akan terus melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab dan memberi kerjasama padu kepada pentadbiran negeri bagi memastikan pembangunan, kebajikan, dan kepentingan rakyat Pahang sentiasa terpelihara,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Menurut dua wakil rakyat itu lagi, dinamik politik semasa menuntut agar kepentingan rakyat, kestabilan negeri, dan kelangsungan pentadbiran yang berkesan diletakkan sebagai keutamaan tertinggi.


