Peruncit, Pusat Beli-Belah Minta Dibenar Beroperasi Dengan 70 Peratus Pekerja Lengkap Divaksinasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan pusat beli-belah dan peruncit menyarankan agar premis boleh dibuka semula apabila 70 peratus daripada ‘pekerja yang hadir pada satu-satu masa untuk melayan pelanggan’ telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Selain itu, hanya pelanggan yang telah melengkapkan suntikan vaksin akan dibenarkan memasuki premis, demikian menurut persatuan-persatuan itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Persatuan itu terdiri daripada Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia, Persatuan Peruncit Malaysia, Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia, Persatuan Peruncit Bumiputera, Persatuan Pengurus Amanah Pelaburan Hartanah Malaysia dan Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia.

“Bagi pusat beli-belah, selain mengawal kemasukan pelanggan yang ditentukan oleh aplikasi MySejahtera dengan status ‘risiko rendah’ dan ‘kontak kasual – tiada simptom’ serta suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah Celcius, kami akan turut menyemak status vaksinasi di aplikasi MySejahtera pelanggan dan hanya memberi kebenaran kepada mereka yang telah melengkapkan suntikan vaksin.

“Oleh itu, premis di pusat beli-belah tidak akan mengulangi proses ini dan kawasan beli-belah akan menjadi persekitaran gelembung hijau secara efektif,” menurut kenyataan itu.

Persatuan-persatuan ini yakin risiko akan mudah diuruskan untuk semua premis di pusat beli-belah membuka perniagaan mereka apabila syarat-syarat ini dilaksanakan.

“Ia akan meningkatkan peluang untuk pulih semula dan demi kelangsungan perniagaan runcit yang amat terjejas akibat penutupan operasi yang berpanjangan, walaupun kes jangkitan di kawasan beli-belah adalah rendah iaitu 0.8 peratus, seperti dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan,” menurut mereka.

Menurut persatuan berkenaan, pusat beli-belah akan menjadi persekitaran gelembung hijau untuk orang ramai yang ingin meredakan tekanan di samping melakukan aktiviti fizikal dan terapi kesihatan mental.

“Kelebihan dan keistimewaan mendapat vaksin akan mencetuskan tindakan untuk segera divaksin dan kami menggesa lebih banyak kapasiti inokulasi dan pusat pemberian vaksin ditingkatkan, justeru mencapai imuniti kelompok yang lebih pantas supaya ekonomi boleh ditambah baik dan pulih lebih awal dan memberi keyakinan.

“Kami menunggu pengumuman yang terkini agar ekonomi boleh bermula semula dan pulih selain menamatkan kesan kelembapan kawalan pergerakan yang berlanjutan ini,” menurut persatuan berkenaan.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat