Menjengah ‘kampung kambing’

- Advertisement -

SUATU yang luar biasa ketika kunjungan penulis mengikuti penerbangan sulung Air Asia dari Kuala Lumpur ke Kertajati, Indonesia baru-baru ini adalah pengalaman mengunjungi ‘Kampung Domba.’

Domba ‘dipetik’ daripada bahasa Indonesia merujuk kepada kambing berbulu tebal atau biri-biri dan nama kampung merujuk kepada semua ‘penduduknya’ terdiri daripada kambing.

Itu produk tarikan unik di Desa Wisata Cibuntu yang menjadi salah satu destinasi wajib dikunjungi jika sampai di Kabupaten Kuningan.

Pemandangan di Kampung Domba juga sangat mempesonakan apabila terletak di kaki Gunung Ceremai iaitu gunung tertinggi di Jawa Barat.

Malah, pemandangan lebih 200 kandang atas bukit dengan berlatarkan hamparan sawah padi itu juga menjadi tarikan untuk dirakam lensa foto.

Bukan ‘kaleng-kaleng’ kandang kambing yang didirikan di situ juga setaraf rumah orang apabila menggunakan atap genting sebagai bumbung.

Satu lagi fakta menarik adalah jumlah kambing jauh lebih banyak daripada penghuni kampung dan menurut wakil penduduk desa Wisata Cibuntu dikenali sebagai Ibnu Sungkawa, penduduk kampung hanya sekitar 900 orang sementara jumlah kambing pula melebihi 1,000 ekor.

Kata Ibnu Sungkawa, Kampung Domba antara penarik bagi produk pelancongan ke Desa Wisata Cibintu. Difahamkan nama Cibuntu juga unik kerana memberi maksud kampung yang hanya memiliki satu-satunya jalan masuk dan keluar.

Namun, itu tidak menghalang pengunjung luar untuk datang kerana ada pelbagai pengalaman yang boleh dinikmati sepanjang ke kawasan itu selain cukup sesuai untuk mereka sukakan produk pelancongan semula jadi.

Jika sampai dan perlu bermalam ke desa pelancongan itu anda perlu menikmati hospitalitinya termasuk inap desa yang pernah dinobatkan di tangga kelima terbaik peringkat negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean).

Inap desa itu menawarkan penginapan cukup selesa serta dapur untuk penghuni menyediakan sajian sendiri.

Peminat aktiviti ekstrem pula boleh mencuba bermalam di tapak perkhemahan Pager Gunung Campsite.

Kemudahan operator yang juga dari penduduk tempatan dengan menawarkan kadar sepadan kemudahan bermalam iaitu mengetengahkan konsep ‘glamor camping’ bagi pengalaman bermalam unik di kawasan pelancongan itu.

 

SITU Cicerem telaga biru yang jernih.
SITU Cicerem telaga biru yang jernih.

 

Apatah lagi pakej itu dilengkapi kemudahan seperti tandas dan kolam renang yang airnya dari mata air semula jadi mengalir dari punca kaki Gunung Ceremai.

Untuk anda yang ingin merasai kemeriahan budaya setempat, disarankan mengunjungi desa itu pada Oktober kerana bulan itu dikatakan adanya penganjuran acara Sedekah Bumi.

Upacara ini menyaksikan satu bentuk ritual tradisi masyarakat Desa Wisata Cibuntu bagi menzahirkan rasa syukur terhadap kekayaan alam yang ada di bumi dengan berkongsi rezeki.

Bagi masyarakat di Tanah Jawa khususnya petani, tradisi ritual tahunan bukan sekadar memenuhi kewajipan sebagai rutin tahunan, malah ia wajar diteruskan generasi akan datang sebagai ingatan untuk menjunjung adat yang baik.

Sebelum sampai ke desa terbabit penulis juga sempat menjengah lokasi kegemaran ‘instagramers’ atau ‘tiktokers’ iaitu Situ Cicerem.

Situ Cicerem merujuk telaga atau kawasan tadahan mata air berwarna kebiruan jernih. Kawasan itu ini sering digelar ‘kembar’ kepada Labuan Cermin di Kalimantan Timur.

Airnya jernih sehingga membuatkan pengunjung boleh melihat dasar telaga sedalam lima meter. Dalam telaga biru itu juga hidup ratusan ikan emas yang terus berkembang biak.

Suasana sekitar juga cukup nyaman apabila dilitupi pohon tinggi yang menjadi kanopi untuk berteduh.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat