Bantuan I-Sinar Dan Moratorium Akan Diumum Dalam Masa Terdekat – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan bantuan sewajarnya termasuk moratorium dan i-Sinar dalam tempoh terdekat, bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan agensi berkaitan.

“Isu moratorium dan i-Sinar… saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri dan agensi-agensi berkaitan.

“Kerajaan mendengar suara rakyat dan bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Terdahulu, beliau memaklumkan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam menganjurkan sesi ‘Zoom’ dengan beberapa ‘influencer’ dalam kalangan rakyat bagi mendengar secara terus suara rakyat tanpa sebarang tapisan.

“Saya dimaklumkan oleh KWSP bahawa selain ‘influencer’, mereka turut menjemput peserta dari kumpulan FB yang khusus memfokus kepada i-Sinar, i-Lestari dan bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, KWSP dan Kementerian Kewangan sentiasa mendengar luahan serta keluhan rakyat dan sesi yang diadakan itu sebahagian usaha untuk mendapatkan maklum balas bagi membentuk dasar dan inisiatif yang memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.

Sehari sebelum itu, katanya, beliau bermesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan pengurusan kanan kumpulan wang berkenaan bagi memperhalusi bantuan yang sesuai untuk Pelan Pemulihan Negara.

“Kami sedar bahawa anda memerlukan bantuan bagi mengharungi fasa 1 dan fasa-fasa seterusnya Pelan Pemulihan Negara. Ingin saya tekankan bahawa kerajaan sentiasa mempertimbangkan semua cadangan dan penyelesaian yang dikemukakan.

“Satu daripada permintaan sering kami terima ialah pelanjutan program i-Sinar dan i-Lestari. Kerajaan faham dan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi rakyat, malah saya juga secara peribadi ada kenalan dan saudara yang memohon i-Lestari dan i-Sinar dalam mereka menghadapi cabaran masa ini,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menegaskan, ada juga pencarum dan pengulas ekonomi yang mengkritik kerajaan kerana mereka tidak mahu dividen dan simpanan hari tua rakyat tergugat disebabkan kerajaan membenarkan pengeluaran secara besar-besaran daripada KWSP.

“Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah ada pelbagai suara menyokong dan membantah. Kami akan cuba untuk mencari penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan semua pihak,” katanya.

-Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat