Speaker Dewan Rakyat Dan Dewan Negara Akan Menghadap Agong Selasa Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, Selasa ini.

Menurut sumber, sesi menghadap itu akan berlangsung di Istana Negara, dipercayai membabitkan isu persidangan Parlimen. Bagaimanapun, waktu sesi menghadap itu tidak diketahui.

Rais dan Azhar Azizan dalam kenyataan bersama sebelum ini dilaporkan berkata, persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.

Mereka berpendapat, tarikh itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan semua aspek perundangan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat terlebih dahulu, dijangka pada akhir Julai.

Kenyataan itu memaklumkan, dengan andaian terbabit, dicadangkan satu Sidang Khas Parlimen diadakan awal Ogos tertakluk prosedur operasi standard (SOP) ketat dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pelbagai pihak sebelum ini menyuarakan kritikan dan gesaan supaya Parlimen kembali bersidang, bagi menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di Malaysia.

Parlimen tidak bersidang susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak COVID-19.

Bagaimanapun, baginda pada 24 Februari lalu bertitah Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun lalu pula menyatakan Sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ditetapkan.

Namun, Al-Sultan Abdullah selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah selama 29 hari hingga 17 Disember tahun lalu. Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 ketika itu meluluskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2021.

-Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat