KUALA LUMPUR – Kabinet bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus selama dua hari sempena Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu akan bermula 12.01 tengah malam (Jumaat) yang berakhir 11.59 malam keesokannya (Sabtu) terhad bagi kenderaan persendirian kelas satu.
Katanya, diskaun itu terpakai kepada semua plaza tol kecuali sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
“Implikasi kewangan ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.69 juta,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Nanta berkata pemberian diskaun tol itu kesinambungan kepada bantuan kerajaan pada empat musim perayaan di Semenanjung sejak dua tahun bagi meringankan beban kos sara hidup.
“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya. “Merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini,” katanya.