Rosmah gagal batal bicara rasuah projek hibrid solar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor gagal mendapat kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung usahanya mencabar kesahihan pelantikan mendiang Datuk Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dan membatalkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek tenaga hibrid solar.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menolak permohonannya dan memerintahkan beliau membayar kos RM30,000.

Hakim Abang Iskandar berkata permohonan Rosmah bagi mendapatkan kebenaran merayu tidak memenuhi syarat ambang Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Tiada isu baharu ditunjukkan yang memerlukan pertimbangan lanjut,” katanya dan menambah bahawa selain itu juga tidak ada isu kepentingan awam untuk dipertimbangkan oleh mahkamah, lapor Bernama pada Selasa.

Dua lagi hakim ialah Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Rosmah yang merupakan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022 bagi mencabar kesahihan pelantikan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kesnya dan untuk membatalkan perbicaraan kes rasuahnya.

Beliau menamakan Peguam Negara, kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Rosmah, 72, memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang.

Beliau turut memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung dari 15 Nov 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rosmah dan beliau telah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan namun turut ditolak. Beliau kemudian memfailkan permohonan pada 5 Julai lepas untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 1 Sept 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Rosmah kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman dan kini bebas dengan jaminan RM2 juta.

Sri Ram yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan meninggal dunia pada umur 79 tahun awal tahun lepas.

Dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, Rosmah diwakili oleh peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Shamsul Bolhassan yang dibantu SFC Liew Horng Bin bagi pihak responden berhujah bahawa permohonan itu perlu ditolak kerana persoalanan undang-undang yang dibangkitkan bukanlah persoalan baharu, tidak bermanfaat atau penting kepada orang ramai.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat