KUALA LUMPUR – Pas menganggap pendedahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya beliau ditawarkan jawatan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) bersetuju keluar daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu mungkin benar atau sebaliknya.
Bagaimanapun Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yakin Presiden Umno itu layak untuk menggalas jawatan Perdana Menteri.
“Ramai yang bertanya tentang pendedahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa terdapat usaha untuk memujuk supaya BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu. Sehingga ada yang menawarkan jawatan Perdana Menteri sekiranya BN sanggup tinggalkan kerajaan yang ada.
“Saya sendiri tidak tahu menahu tentang tawaran dan rundingan ini. Boleh jadi wujud atau tidak, wallahualam. Datuk Seri Zahidlah orang yang lebih mengetahui. Kenapa beliau tidak dedahkan sahaja nama individu yang berunding itu pun tidak diketahui, biasanya jika ada maklumat yang disimpan ertinya boleh jadi rundingan masih berjalan. Atau boleh jadi cerita ini tidak benar, tapi mustahil Timbalan Perdana Menteri kita nak mereka-reka cerita.
“Isu jawatan Perdana Menteri pun bukanlah satu perkara yang pelik. Ini kerana Datuk Seri Zahid yang layak untuk jawatan itu. Datuk Seri Zahid sekarang sudah suci, umpama air mutlak yang suci lagi menyucikan. Tiada lagi yang menghalang.
“Kes-kes mahkamah sudah digugurkan oleh Peguam Negara. Cumanya dengan status DNAA ia boleh dibuka semula jijka ada arahan dan keputusan baru. Jika Datuk Seri Zahid dilantik sebagai Perdana Menteri, tidak mustahil ia boleh bertukar kepada DNA – dibebaskan sepenuhnya tanpa ada bantahan pun daripada Pakatan Harapan kerana mereka telah lakukannya dari awal.
“Jadi, pendedahan Datuk Seri Zahid ini tidak pelik, bahkan boleh jadi Datuk Seri boleh terima dengan tangan terbuka,”kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Fadhli juga menambah, dalam pada media bicarakan siapakah calon Perdana Menteri dari Perikatan Nasional (PN) sekarang, apa salahnya Datuk Seri Zahid juga menjadi salah seorang calon Perdana Menteri?
Semalam Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mendedahkan terdapat usaha untuk memujuk supaya BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.
Pengerusi BN itu mendakwa lagi, sebagai balasan, parti itu turut ditawarkan jawatan perdana menteri jika bersetuju dengan perancangan tersebut.
Bagaimanapun, Zahid menolak tawaran itu kerana tidak sanggup mengkhianati rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Ada yang menawarkan kononnya mahu menggantikan kerajaan sedia ada (kerajaan Perpaduan) dan mahu melontarkan (mencadangkan) kita (BN) sebagai perdana menteri.
“Saya cakap kepada mereka (yang memujuk) jangan buang masa, marilah kita perkukuh Kerajaan Perpaduan yang ada.
“Jawapan saya tegas, kerana saya tidak akan mengkhianati kawan, itu pegangan saya walaupun ramai kawan mengkhianati saya.
“Dalam politik jangan naik, jangan pijak kepala orang. Jika kita pijak orang lain, ingat satu hari nanti apabila kita berada di atas, orang lain akan pijak kita untuk turun dengan hina,” katanya tanpa memperincikan pihak yang membuat tawaran tersebut.
Dalam pada itu, Zahid turut mendedahkan,pada minggu lalu, terdapat ahli Parlimen pembangkang turut bertemu beliau untuk membentuk jajaran baharu Kerajaan Perpaduan dengan syarat mereka diberi empat jawatan menteri.