KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berkait kos perjalanan Perdana Menteri dan delegasi ke lawatan kerja rasmi luar negara yang turut dibiayai syarikat-syarikat swasta.
Hal ini kata bekas menteri kewangan itu, Kerajaan Madani sendiri sangat menentang unsur rasuah.
“Ramai orang datang bertanya kepada saya apa pandangan saya mengenai pengakuan,- seolah-olah pengakuan yang dibuat dalam kenyataan yang terbit dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini oleh Perdana Menteri kita.
“Saya kata itu seolah-olah macam pengakuan bahawa adanya elemen rasuah tapi saya sendiri tak dapatlah mengesahkan.
Tapi bunyi tu macam itu (elemen rasuah).
“Jadi saya rasa benda macam ini patut kita serah kepada SPRM, siasat kerana kita di bawah kerajaan ini pun tak suka berlakunya rasuah dan sebagainya, apatah lagi dikalangan mereka yang berada kedudukan dalam pemerintahan,” syor bekas ahli Parlimen Gua Musang itu di akaun TikToknya.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan di Dewan Rakyat kos sekitar 70 hingga 80 peratus yang dibelanjakan membebitkan perjalanan dan lawatan rasmi beliau ke lima negera ditanggung oleh syarikat swasta yang turut mengikuti urusan itu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil pula berkata, kerajaan berjaya menjimatkan hampir RM1 juta untuk sewaan penerbangan khas bagi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara, dengan kerajaan menanggung 27 peratus kos dan delegasi perniagaan menanggung 73 peratus.
Fahmi menjelaskan bahawa kos penerbangan Perdana Menteri tidak dibiayai oleh mana-mana syarikat dan syarikat yang mengikuti rombongan menanggung kos mereka sendiri.
Manakala katanya, kehadiran Nurul Izzah Anwar dalam siri lawatan adalah atas jemputan penganjur sebagai Pengarah Social and Economic Research Initiative (Seri), menggantikan isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah, yang tidak dapat hadir.
Terkini, Anwar menafikan beliau menggunakan dana daripada syarikat swasta dalam empat lawatan kerja rasminya ke luar negara sebelum ini.
Sebaliknya, jelas Perdana Menteri, kos RM1.6 juta yang dibelanjakan bagi lawatan rasmi itu adalah wang kerajaan sepenuhnya dengan penerbangan pula menggunakan syarikat Malaysia Airlines (MAS).
Tambah beliau, baki tempat duduk dalam lawatan kerja rasmi itu ditawarkan kepada kepada syarikat swasta yang turut serta bagi tujuan pelaburan atau usaha sama.
Ujarnya, syarikat swasta terbabit membayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta.