Polis Berjaya Tahan Tiga Ahli Geng Ramesh

- Advertisement -

KUALA LANGAT – Polis menahan tiga lelaki warga tempatan dikenali sebagai Geng Ramesh yang disyaki menyamun seorang warga asing di daerah ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, tangkapan ke atas suspek susulan laporan dibuat seorang warga asing berusia 37 tahun yang mendakwa wang miliknya berjumlah RM33,000 disamun suspek, Jumaat lalu.

“Berdasarkan laporan itu, mangsa yang juga seorang buruh, wang tunai miliknya disamun dua lelaki yang memegang kayu di hadapan sebuah kilang di Telok Panglima Garang, kira-kira jam 9 malam.

“Siasatan mendapati, ia adalah wang yang dikumpul daripada rakan sekerja mangsa untuk dihantar ke kampung halaman mereka.

“Siasatan juga mendapati barang yang hilang adalah satu unit telefon bimbit jenis Vivo dan wang tunai sebanyak RM 33,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan sekitar Telok Panglima Garang, di sini, kira-kira jam 11 malam keesokan hari.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, polis melakukan serbuan dan menahan dua lelaki yang juga rakan sejenayah suspek di kawasan sama pada 3.30 pagi, 23 Oktober lalu.

“Dalam serbuan itu, polis menemui semula barang-barang dan wang tunai milik pengadu serta sejumlah barangan yang digunakan semasa melakukan kegiatan samun terbabit.

“Antara barangan dirampas adalah tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah motosikal Yamaha LC 135 dan wang tunai sebanyak RM19,500.

“Dipercayai sebahagian wang mangsa sudah digunakan oleh suspek,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditangkap adalah lelaki tempatan berumur 28 tahun hingga 47 tahun dan masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek direman selama lima hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

“Kes disiasat mengikut seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun bersenjata secara berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat