KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Pakatan Harapan (PH) membina persepsi tidak benar mengenai pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk dakwaan bahawa institusi itu tidak mengendahkan teguran Bank Negara Malaysia (BNM).
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu malah menggesa Ahli-Ahli Parlimen membawa Menteri yang membuat kenyataan berkenaan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwanya tidak menceritakan kedudukan sebenar kepada Dewan Rakyat.
“Menteri, saya minta Ahli-Ahli Parlimen, terutamanya saya ucap terima kasih kepada PAS, hari ini dia hantar 11 orang Ahli Parlimen yang datang.
“Bangkitkan di Parlimen. Bawa Menteri ini kepada Jawatankuasa Hak sebab dia menipu Dewan.
“Dia hanya sebut Tabung Haji tidak mengendahkan teguran Bank Negara. Dia tidak menjelaskan dan memaparkan kisah sebenar bahawa Tabung Haji sudah pun mengambil tindakan atas teguran,” katanya ketika berucap dalam sebuah forum mengenai isu Tabung Haji.
Asyraf berkata BNM mempunyai peranan melihat aktiviti institusi yang tidak dikawal selianya sekiranya terdapat kemungkinan risiko sistemik, termasuk berkaitan kecairan dan kemungkinan pengeluaran deposit secara besar-besaran.
Menurutnya, TH bukan sebuah bank tetapi mempunyai ciri tertentu yang hampir sama kerana menerima deposit daripada orang ramai.
Justeru, katanya, BNM mempunyai kepentingan untuk mengetahui bagaimana TH menguruskan rizab dan kecairannya bagi memastikan institusi itu mampu memenuhi keperluan pendeposit yang boleh mengeluarkan wang pada bila-bila masa.
Asyraf mendakwa TH telah mengambil tindakan susulan dengan menambah RM300 juta dalam rizab pada 2016.
Beliau turut mendakwa laporan kestabilan kewangan BNM pada tahun berkenaan menyatakan kepuasan terhadap langkah proaktif TH dalam menangani risiko kecairan dan kewangan.
“Ini tidak didedahkan. Ini tidak diviralkan.
“Ini tidak dimaklumkan di dalam Parlimen.
“Ini satu pendustaan. Ini satu mainan persepsi nak tunjukkan betapa bobroknya pengurusan Tabung Haji dulu dan bukan saja itu, ia menyebabkan reputasi institusi Islam dan orang Melayu yang dibangunkan sejak sekian lama berhadapan dengan reputasi yang besar dan boleh hancur,” katanya.
Dalam pembentangannya, Asyraf turut memaparkan rekod keuntungan bersih dan pembayaran hibah TH bagi tempoh 2010 hingga 2017 bagi menyokong hujahnya bahawa institusi itu mencatatkan keuntungan sebelum pertukaran kerajaan pada 2018.
Berdasarkan slaid yang dipaparkan, keuntungan bersih TH meningkat daripada RM1.72 bilion pada 2010 kepada RM3.41 bilion pada 2017, dengan keuntungan bersih tertinggi RM3.53 bilion dicatatkan pada 2015.
Jumlah hibah tertinggi pula direkodkan pada 2014 sebanyak RM3.24 bilion, manakala kadar hibah tertinggi yang dipaparkan ialah 6.50 peratus ditambah bonus haji 1.50 peratus pada 2012.
“Apakah Tabung Haji rugi sebelum 2018, daripada 2010 sampai 2017? Keuntungan bersih.
“Daripada RM1.72 bilion sampai RM3.41 bilion tidak pernah dipertikaikan, bahkan mendapat sijil bersih daripada Ketua Audit Negara. Itu realiti,” katanya.
Asyraf turut mempertikaikan dakwaan berlaku manipulasi akaun atau creative accounting dalam pengurusan TH sebelum 2018.
Menurutnya, tiada seorang pun pengerusi, ketua pegawai eksekutif atau anggota pengurusan TH didakwa atas kesalahan manipulasi akaun meskipun tuduhan mengenainya telah berlarutan sejak pertukaran kerajaan.
“Sehingga hari ini tidak ada seorang pun, daripada Pengerusi Tabung Haji, CEO Tabung Haji ataupun mana-mana pengurusan yang kena charge kerana manipulasi akaun.
“Jadi ini pun satu lagi pendustaan yang besar. Kerana dia boleh membentuk persepsi yang salah kepada masyarakat, seolah-olah ini merupakan satu manipulasi akaun,” katanya.
Asyraf turut menolak persepsi bahawa kerajaan PH merupakan “penyelamat” TH dengan mempersoalkan tindakan penjualan aset TH kepada syarikat tujuan khas selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
Beliau berkata pertikaian mengenai TH perlu dinilai berdasarkan fakta dan bukan persepsi politik yang menurutnya telah dibina terhadap pengurusan institusi itu sebelum 2018. – SUARA TV



