PKR Sabah ‘bungkam’ spekulasi anak Musa Aman sertai parti itu, tanding PRN

KUALA LUMPUR – PKR Sabah enggan mengulas spekulasi penyertaan Datuk Yamani Hafez Musa, anak Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, yang disebut-sebut akan menyertai parti itu dan bertanding pada PRN akan datang.

Ketua PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud menyarankan pihak media agar bertanya terus kepada Yamani, namun memberi bayangan bahawa ‘perkara itu akan diumumkan kelak’, lapor The Star.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan bilik gerakan PRN bagi kerusi DUN Api-Api di Kota Kinabalu, lapor akhbar berkenaan.

Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang turut hadir berkata, permohonan menyertai parti boleh dibuat secara dalam talian.

“Individu yang tepat untuk menjawab (tentang perkara ini) ialah setiausaha agung kita,” katanya, merujuk Datuk Fuziah Salleh.

Yamani, anak sulung Musa, merupakan bekas timbalan menteri kewangan Sabah. Beliau sebelum ini memenangi kerusi Parlimen Sipitang atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14. Beliau kemudian menyertai Bersatu, namun tidak mempertahankan kerusi tersebut pada PRU15 (2022).

Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, nama Yamani disebut-sebut sebagai calon berpotensi PKR bagi kerusi Sipitang. Kerusi itu kini dipegang Dr Yusof Yacob dari Parti Gagasan Rakyat Sabah, sebuah parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mentadbir negeri.

Sementara itu, Mustapha menepis persoalan mengenai ketiadaan bekas ketua PKR Sabah Christina Liew pada majlis pelancaran itu, di tengah-tengah spekulasi beliau bakal digugurkan sebagai calon pada PRN Sabah.

“Mungkin beliau ada komitmen lain sebagai menteri (pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri) dan perlu hadiri beberapa program hari ini. Sebab itu beliau tidak dapat hadir,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat