KUALA LUMPUR – Analisis awal seismologi mendapati gempa bumi yang berlaku di Segamat, Johor, semalam, berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral.
Menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), ia membabitkan blok kerak bumi di utara sesar bergerak ke arah barat, manakala blok di selatan sesar pula bergerak ke arah timur.
Katanya, hasil semakan awal peta geologi struktur menunjukkan pusat gempa Segamat berada berhampiran lanjutan Sesar Mersing yang berorientasi barat-barat laut hingga timur tenggara.
“Kejadian ini menunjukkan berlaku pengaktifan semula sesar kuno berkenaan yang melepaskan tenaga tektonik tersimpan di dalam kerak benua.
“Kedalaman gempa cetek 10 kilometer (km), sekali gus mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua dan bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurut JMG lagi, Malaysia berada di atas Plat Sunda yang relatif stabil tetapi masih menerima pengaruh tekanan daripada sistem tektonik serantau, khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.
Jabatan itu menjelaskan, tekanan terbabit berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar kuno di Semenanjung Malaysia dan melepaskan tegasan tersimpan dalam bentuk gempa bumi kecil hingga sederhana.
Selain itu, katanya, gegaran kecil juga pernah dirasai pada 2021 dan 2023, namun pusat gempa tidak berada di Johor.
“Kedua-duanya berlaku di perairan luar pesisir (berhampiran Sumatera), namun gegaran masih dapat dirasai oleh penduduk di Johor kerana kedudukan yang agak hampir.
“Kesemua insiden, termasuk gempa Segamat 2025, menunjukkan kerak benua Semenanjung masih menyimpan tegasan tektonik yang boleh dilepaskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, menurut JMG, kajian terdahulu merekodkan dua gempa bumi daratan di Johor pada 1922, iaitu pada 31 Januari (magnitud 5.4) dan 7 Februari (magnitud 5.0), namun lokasi tepat tidak dinyatakan.
“Gegaran itu bersifat sederhana tetapi tetap menyebabkan kerosakan kecil di sekitar kawasan Muar, dan peristiwa ini jarang berlaku kerana Semenanjung Malaysia terletak di atas Sunda Plate, iaitu zon tektonik yang stabil,” katanya.
JMG berkata, kejadian di Segamat itu menambah kepada rekod sejarah pengaktifan semula sesar kuno di Semenanjung, antaranya Bukit Tinggi, Pahang (2007–2010); Kenyir, Terengganu (1984); Kuala Pilah, Negeri Sembilan (1987); dan Manjung–Temenggor, Perak (1990).
JMG menegaskan walaupun Semenanjung Malaysia bukan zon seismik utama, risiko gempa bumi berskala kecil hingga sederhana tetap wujud.
Justeru, katanya, pemantauan berterusan jaringan seismik, pemetaan semula sesar aktif dan pembangunan sistem amaran awal perlu dilaksana bagi meningkatkan kesiapsiagaan awam serta melindungi infrastruktur kritikal.
“Gempa Segamat 2025 mengulangi hakikat bahawa kerak benua Semenanjung masih menyimpan tegasan tektonik yang boleh dilepaskan secara tiba-tiba.
“Walaupun risikonya rendah berbanding Sumatera, langkah proaktif diperlukan bagi mengurangkan impak terhadap keselamatan rakyat, pembangunan ekonomi dan keyakinan awam,” katanya.
Semalam, gempa bumi lemah berukuran 4.1 magnitud dikesan kira-kira lima kilometer barat Segamat, Johor, pada jam 6.13 pagi, disusuli gegaran kedua berukuran 2.8 magnitud pada jam 9.00 pagi.
JMG dalam laporan awal memaklumkan, gegaran sederhana turut dirasai di Mersing, Kluang, Batu Pahat dan kawasan sekitar.



