KUALA LUMPUR – Amat terang lagi bersuluh, MIC hilang keyakinan pengundi India sejak 2008 dan itu bukan salah Umno sebaliknya salah MIC yang gagal berubah.
Ahli Dewan Negara Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mendakwa MIC sering memainkan naratif kononnya mereka dipinggirkan kerana Umno terlalu mesra PH dan BN bertindak tidak adil
“Saya tengok sejak kebelakangan ni, MIC bukan main makin galak lagi berdrama. Setiap kali mesyuarat perwakilan, ada saja usul nak keluar BN. Kononnya mereka dipinggirkan, kononnya Umno terlalu mesra PH, kononnya BN tak adil.
“Pendapat saya sebagai Ketua Umno Bahagian Tebrau, MIC ni tak sedar diri!
“MIC masih bernafas dalam politik arus perdana hari ini sebab banyak dapat talian hayat daripada Umno, termasuk kerusi majoriti Melayu yang dimenangi hasil kerja kuat jentera Umno. Tanpa Umno, MIC mungkin sudah lama pupus,” bidas Abdul Halim dalam kenyataan pada Isnin.
Justeru beliau mempersoalkan, MIC berani ugut tapi adakah parti itu berani buat?
“Kalau kita lihat pun, beberapa bahagian MIC dah luluskan usul ‘nak keluar BN’ atau nak kerjasama parti lain – MIC Kedah: usul kerjasama dengan PN; MIC Pulau Pinang: sokong langkah keluar BN dan MIC Wilayah Persekutuan (KL): usul keluar BN disokong perwakilan.
“Kalaulah rasa confident sangat, dengan segala hormatnya dipersila keluar je dan tak payahlah hari-hari ugut. Terus keluar BN. BN pun boleh fokus PRU16 tanpa drama dalaman,” kata Ketua Umno Bahagian Tebrau itu lagi.
Menurut beliau, prestasi MIC terus merudum sejak 1990.
“Memang diakui MIC pernah ada pengaruh, tapi itu dululah. Sekarang ini kalau kita lihat data, angka tak menipu: 1990: 6 kerusi Parlimen; 1995: 7 kerusi; 1999: 7 kerusi; 2004: 9 kerusi (kemuncak); 2008: 3 kerusi; 2013: 4 kerusi; 2018: 2 kerusi dan 2022: 1 kerusi sahaja.
“Jadi amat terang lagi bersuluh, MIC hilang keyakinan pengundi India sejak 2008. Itu bukan salah Umno — itu salah MIC yang gagal berubah.
“Malah bukan seorang saja yang dah bengang dengan tindak tanduk MIC itu tapi ramai pimpinan Umno dah tegur keras – Puad Zarkashi (MKT Umno): MIC jangan asyik ugut; kalau betul tak puas hati, kenapa tak keluar kerajaan masa dulu? Mohamad Hasan (Timbalan Pengerusi BN): Ingatkan parti komponen jangan buat kenyataan yang rosakkan BN dan Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi BN): Tegaskan rakan BN jangan ugut keluar; bincang secara baik, bukan gertak.
” Jadi mesejnya cukup jelas, Umno tak akan layan politik ugut bermusim. BN perlukan rakan setia, bukan penumpang yang hanya tahu tekan kawan sendiri.
“Kalau MIC nak jadi macam parti Gerakan yang keluar Umno selepas PRU14 lalu sebab kononnya tak ada masa depan selepas BN tumbang, lihatlah apa jadi pada parti itu – hidup segan, mati tak mahu dan hanya duduk bawa ketiak Pas dan Bersatu saja dalam PN,” gesanya.
Abdul Halim juga mendakwa Umno sudah lama berperanan sebagai talian hayat MIC.
“Kalau kita semak track record PRU pun, calon-calon MIC yang menang di kerusi majoriti Melayu sebelum ini pun sebab jentera Umno kerja keras.
“Dalam PRU15 pun, MIC tinggal 1 kerusi sahaja — Umno tetap beri laluan dan sokongan. Kalau itu pun tak cukup, silakan keluar BN. Nak masuk PN atau parti lain? Silakan.
“Kita tengok boleh hidup sendiri atau terus pupus dalam politik Malaysia.
“Umno dan BN mahu mara ke PRU16 dengan rakan setia, bukan dengan parti yang asyik merajuk sebab tak dapat jawatan.
“Kalau MIC yakin hebat tanpa BN, pintu sentiasa terbuka. Jangan ugut, terus keluar sekarang. Rakyat pun nak tengok, MIC mampu berdiri sendiri atau sekadar tinggal sejarah,” saran beliau.



