KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong mengingatkan DAP agar tidak berlagak sombong.
Choo Seong mengingatkan, tidak mustahil jika suatu saat nanti DAP berdepan gelombang penolakan rakyat.
“DAP – jangan sombong!
“Tiba masanya nanti, rakyat akan tolak kamu,” kata Choo Seong mengingatkan.
Dipercayai peringatan Choo Seong ini merujuk kenyataan keras Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang berkata di Ipoh semalam bahawa DAP tidak pernah berhasrat mahu menjalin kerjasama politik dengan MCA seperti yang didakwa oleh sebahagian pemimpin parti berkenaan.
Menurut Anthony Loke , kerjasama secara tidak langsung dengan MCA ketika ini sekadar mengikut kerangka kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Pertamanya, kita pun tidak pernah cakap hendak kerjasama dengan mereka. Jangan perasan sangat bahawa DAP hendak bekerjasama dengan mereka. Kita bekerjasama dalam kerangka kerajaan Perpaduan.
“Respon saya kepada MCA mudah sahaja, anda hendak buat apa pun keputusan, anda punya hal.
“Kita tidak pernah cakap hendak kerjasama dengan mereka. Jangan perasan sangat seolah-olah kita ini tidak boleh hidup tanpa mereka,” katanya.
Menteri Pengangkutan itu berkata demikian apabila ditanya mengenai laporan berita tentang kesukaran MCA untuk berkerjasama dengan DAP
Anthony Loke berkata, isu membabitkan MCA itu harus ditangani oleh dalaman BN sendiri.
Jelasnya, hal demikian bercanggah dengan pemimpin Umno yang berada Kabinet, yang dilihat memberikan komitmen hendak memperkuatkan kerajaan Perpaduan.
“Tetapi saya lihat pemimpin MCA suka bagi kenyataan yang bercanggah. Mungkin mereka rasa tak menjadi sebahagian daripada kerajaan ini. Terpulang kepada mereka,” katanya.
Tambah beliau, DAP kini lebih menumpukan kepada memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan soal pilihan raya akan diberikan perhatian apabila sudah hampir masanya.



