NILAI — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sudah menjangkakan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan berdepan perbezaan pendirian serta percanggahan kenyataan dalam kalangan pemimpin kedua-dua gabungan sejak di peringkat awal lagi.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, perkembangan yang berlaku ketika ini membuktikan jangkaannya apabila beberapa kenyataan berhubung kerjasama tersebut disanggah oleh pemimpin daripada gabungan yang sama, sekali gus mencerminkan tiadanya kesepakatan dalam menentukan hala tuju kerjasama berkenaan.
“Saya dah jangka dah. Saya sudah jangka belum apa-apa.. siapa Hamzah Zainudin yang hendak mengatakan Perikatan Barisan Nasional (PBN). Itupun dia sudah kena ‘sembelih’.
“Saya pernah ada di situ (jawatan Pengerusi PN) dan tahu bagaimana hendak menguruskan soal PN.
“Kedua, dia kata ini sebagai satu gabungan. (Timbalan Pengerusi BN) Datuk Mohamad Hassan sudah nafikan (BN-PN) ia bukan gabungan.
“Jadi, semua kenyataan yang dikeluarkan oleh satu pihak disanggah oleh pihak lain dalam gabungan baharu itu,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran Tawaran BERSATU Demi Nismilan di Nilai, hari ini.
Muhyiddin berkata, situasi itu menunjukkan kerjasama yang sedang dibentuk masih belum mempunyai keselarasan dari segi pendirian dan pendekatan dalam kalangan kepimpinan kedua-dua gabungan.
Beliau turut berpandangan bahawa kerjasama berkenaan lebih didorong oleh kepentingan politik dan usaha mendapatkan kuasa berbanding memberi tumpuan kepada agenda yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat.
“Saya buat ramalan (kerjasama BN-PN) ini adalah untuk kepentingan masing-masing tetapi kepentingan tidak semestinya untuk tujuan yang sama, pokoknya mereka hendak bersama untuk kuasa.
“Ada dia (Pas) bincang soal bagaimana kita bincangkan dalam manifesto hari ini? Ada tak terdengar Pas cakap soal ekonomi, sosial untuk rakyat? Awak cuba pergi ke lapangan.
“Yang dia buat, dia keluarkan hukum-hakam entah dari mana datang, bulan, langit, matahari. Ada Pas keluarkan manifesto?” katanya.



