KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli tampil memperincikan usaha-usaha yang telah dilaksanakan beliau sewaktu menggalas jawatan Menteri Ekonomi sebelum ini.
Jelas Ahli Parlimen Pandan itu, Menteri Ekonomi bertanggungjawab menyelia perancangan negara (termasuk hal ehwal ekonomi) buat jangka masa panjang.
“Saya ditanya apa yang dibuat semasa menjadi Menteri Ekonomi? Tumpuan utama saya sepanjang memikul amanah itu ialah mengubah struktur dan pendekatan, supaya kita tidak melakukan perkara kosmetik yang membelanjakan wang rakyat tetapi tidak kekal berpanjangan (kerana struktur tidak berubah).
“Tekanan mendesak ekonomi negara ialah daya saingnya yang perlu ditingkatkan. Ini melibatkan usaha mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan, mengubah struktur ekonomi negara (agar kita beralih kepada aktiviti bernilai tinggi) dan melakukan reformasi pasaran kerja (agar pekerja mendapat kenaikan gaji yang setimpal dan negara tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing).
“Ada yang kesannya boleh dinilai terus oleh rakyat. Melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), kita merangka bentuk bantuan kerajaan agar penerima perlu bekerja untuk mendapat tambahan pendapatan, sementera pelaburan kerajaan mewujudkan infrastruktur kekal yang boleh membantu penerima akan datang menjana pendapatan.
“Ada yang kesannya sudah dirasai. Contohnya, penubuhan JSSEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura) mewujudkan enjin pertumbuhan yang menarik pelaburan baru atas sifatnya sebagai zon pertama di rantau ini yang melibatkan dua negara. Integrasi ekonomi Johor dan Singapura menjadi kes ujian pertama ke arah integrasi ekonomi Asean, yang mempunyai potensi besar di masa hadapan,” jelas beliau.
Tambah Rafizi lagi, ada juga kesannya dirasai oleh sebahagian penerima tetapi perlu ditingkatkan pelaksanaan supaya lebih ramai menyertai.
“Contohnya, Dasar Gaji Progresif telah berjaya menaikkan gaji pekerja yang majikannya telah menyertai skim ini, tetapi kita perlu percepatkan supaya lebih ramai majikan menyertainya.
“Insya-Allah, saya akan huraikan kenapa dan bagaimana dasar dan program besar yang dimulakan oleh Kementerian Ekonomi sebelum ini wajar diteruskan dan ditingkatkan, ke arah menambah baik struktur ekonomi negara,” kata Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu.