Tanpa kesatuan UMNO akan meleset seteruk-teruknya – Khaled Nordin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – UMNO hanya boleh diselamatkan apabila semua kabilah dalam parti kendurkan cita-cita peribadi dan kembali sebagai satu pasukan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin menjelaskan, cita-cita peribadi yang dimaksudkan ialah untuk diri sendiri dan bukan untuk negara, parti, orang Melayu dan Islam.

Tegas beliau, masalah inilah yang akan menewaskan UMNO jika tidak diatasi.

“Para pemimpin dalam UMNO mesti mengendurkan aspirasi peribadi dan mengutamakan hanya aspirasi parti dan negara.

“Kadang-kadang terlalu banyak pertindihan pendirian sehingga ahli dan rakyat jadi bingung pendirian mana yang UMNO ini sebenarnya perjuangkan.

“Jika UMNO ingin berkelangsungan, maka UMNO harus teguh dengan keputusan parti dan hanya keputusan parti. Ini maksudnya hanya institusi Presiden dan Majlis Tertinggi sebagai pengemudi perjalanan UMNO,” kata Khaled dalam hantaran Facebooknya pada Jumaat.

Ujar beliau, segala yang diluar institusi ini bukan mewakili kepentingan parti malah adalah elemen canggahan kepada parti.

“Sama ada kita bersetuju dengan individu atau tokoh tertentu dalam kepimpinan parti, itu biarlah kita simpan dalam nurani kita. Namun disiplin parti mesti kita kekalkan.

“Mereka yang terpilih dek keputusan perwakilan adalah wakil sebenar parti dan kepada merekalah kita sandarkan keyakinan.

“Tanpa disiplin, parti akan jadi persendaan ahli dan rakyat. Tanpa kesatuan, UMNO akan meleset dalam seteruk-teruk kemelesetan,” nasihat beliau.

Khaled menyeru kepada semua kabilah dalam parti, kendurkanlah cita-cita kalian demi menyelamatkan UMNO.

“Kembalilah semua sebagai hanya satu pasukan demi tanah air.

“Namun ini tidaklah bermakna kalian harus memadam cita-cita untuk memimpin bangsa suatu hari nanti.

“UMNO senantisa bersedia menonjolkan hanya yang terbaik jika saat dan ketikanya sampai tetapi mesti dengan mengikut resmi dan tradisi UMNO,” kata Khaled lagi.

Beliau memberitahu untuk mewujudkan kerajaan yang stabil di Malaysia, UMNO mesti jadi sebahagian dari angkubahnya.

“Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana peranan UMNO menjadi pendesak dan pengaturcara. Perikatan Nasional (PN) tertubuh kerana UMNO memberikan talian hayatnya.

“Maka nasib PN seterusnya adalah dalam percaturan UMNO. Pada UMNO-lah kunci sebuah pemerintahan yang berfungsi boleh dijelmakan.

“Tetapi UMNO juga berhadapan dengan masalahnya tersendiri. Pelbagai kabilah dalam UMNO dengan cita-cita masing-masing.

“Semoga Allah membuka seluas-luasnya pintu persaudaraan di kalangan kita dan semoga Allah melembutkan hati sang ‘panglima’ dalam UMNO untuk bertaut kembali demi UMNO yang satu-satunya,” ucapnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat