Aina Abdul mahu beraya di rumah peminat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR : Tidak berhasrat menyambut peminat di rumah pada Aidilfitri, sebaliknya, penyanyi vokal mantap, Aina Abdul merancang membuat kejutan dengan bertandang ke rumah mereka.

Usaha itu diambil Aina sebagai cara membalas sokongan tidak berbelah-bahagi peminat setianya, sejak mula bertapak dalam industri muzik hingga namanya masyhur di bibir pemuja.

Aina yang meraikan lebaran di kampung halaman ibu di Mersing, Johor, mengaku faktor keselesaan dan ruang terhad menjadi punca dia tidak menerima tetamu ramai di kediaman.

“Saya lebih suka berjumpa peminat di luar. Ruang rumah kami tidaklah sehebat mana. Jadi, agak kurang sesuai untuk menyambut kehadiran peminat.

“Lagipun, hari raya sangat saya nantikan untuk menghabiskan masa bersantai bersama keluarga sambil menonton program kegemaran kami di Netflix.

 

Aina yang meraikan lebaran di kampung halaman ibu di Mersing, Johor, mengaku faktor keselesaan dan ruang terhad menjadi punca dia tidak menerima tetamu ramai di kediaman sendiri. Foto IG Aina Abdul
Aina yang meraikan lebaran di kampung halaman ibu di Mersing, Johor, mengaku faktor keselesaan dan ruang terhad menjadi punca dia tidak menerima tetamu ramai di kediaman sendiri. Foto IG Aina Abdul

 

“Insya-Allah, saya berhasrat mahu ke rumah peminat, tengoklah macam mana. Jika jadual mengizinkan, saya mahu buat kejutan beraya di rumah peminat bagi membalas sokongan mereka kepada saya selama ini,” katanya.

Berkongsi rutin keluarga pada hari raya, sudah menjadi kelaziman Aina untuk beraya di Mersing dan Johor Bahru.

Usai solat sunat Aidilfitri, mereka memulakan aktiviti ziarah dengan didahului kunjungan ke pusara arwah ayah disusuli kediaman sanak-saudara.

Lazimnya, kata Aina, mereka meluangkan tiga hari di Mersing dan Johor Bahru, sebelum bergerak ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk menziarahi keluarga arwah bapa.

Lebaran ini, Aina hanya menyediakan dua pasang persalinan untuk dipakai pada hari raya pertama dan kedua.

Akuinya, dia dan keluarga tidak seperti orang lain yang gemar sedondon di pagi raya.

“Keluarga kami tiada tema tertentu. Biasanya, adik beradik saya beli sendiri baju. Mereka sudah berkeluarga dan bekerja. Jadi, mereka lebih suka berdikari.

“Walaupun kerjaya saya semakin selesa, namun, saya tetap bersederhana dan tidak berlebih-lebihan dalam membuat persiapan Aidilfitri,” katanya.

Mengenai juadah kegemaran, Aina suka rendang daging yang dimakan bersama lemang dan ketupat palas.

Selepas sebulan berpuasa, bagi Aina, Syawal adalah waktu untuk dia menikmati pelbagai jenis juadah dan melupakan diet sementara waktu.

Aina mengaku menjamu selera sepuas-puasnya selama lima hari dan kembali menjaga pemakanan selepas itu.

“Untuk hari raya, saya langgar pantang buat seketika.

“Takkanlah orang lain makan sedap-sedap, saya hanya makan salad depan mereka,” katanya berseloroh.

Mengimbau kenangan kali pertama menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran insan bergelar ayah, Aina mengaku, detik itu dianggap hari raya paling suram dan sunyi buat mereka.

Bapa Aina, Allahyarham Abd Ghani Abdullah meninggal dunia kira-kira 15 tahun lalu, iaitu ketika Aina menuntut di Tingkatan Tiga, berpunca komplikasi pelbagai penyakit.

“Ketika itu dianggap hari raya paling sunyi, sangat syahdu dan pilu buat kami sekeluarga.

“Apatah lagi, saya rapat dengan arwah ayah.

“Bertahun-tahun untuk saya terima kenyataan itu. Tetapi, semakin lama, saya sudah reda.

“Walaupun ayah sudah lama pergi, kami tidak lupa menziarah kubur ayah setiap kali hari raya,” katanya.

Berita harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat