Oleh: Zihan Zari
KLANG – Di samping menuntut ilmu, jangan lupa untuk tingkatkan amal ibadah yang sebenarnya akan menjadi sumber kekuatan dan kecergasan dalam mencapai kejayaan.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata demikian ketika menghadiri program rewang menyediakan juadah sahur bersama kakitangan dan murid asrama Yayasan Selangor (YS) di sini pada Sabtu.
“Menjadi impiannya untuk menyaksikan negeri Selangor menjadi barisan hadapan dalam menerajui agenda transformasi negara.
“Di samping melihat program-program pembelajaran dan pembangunan nilai dan sahsiah serta kapasiti berfikir anak-anak dipupuk menerusi program-program kerohanian,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YS berkata, amat berharap sepanjang mereka berada di sini, dapat merasai keberkatan Ramadan yang pastinya sarat dengan program-program kerohanian anjuran pihak asrama.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh YS, program ini memasuki edisi kedua penganjurannya melibatkan 300 murid tajaannya.
Mereka berpeluang bersahur bersama Menteri Besar Selangor selain turut mendengar Kuliyyah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Fakhrul UNIC.
Dalam pada itu, Amiruddin berbesar hati menyampaikan sumbangan duit raya dan penyerahan Pek Sahur Makanan Kering tajaan 99 Speed Mart Sdn Bhd kepada murid-murid tajaan YS.
Selain itu, YS turut menyampaikan sumbangan Pek Sahur kepada anggota bertugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota PDRM, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Sumbangan makanan ini secara tidak langsung berjaya menaikkan semangat semua petugas anggota barisan hadapan agar terus berkhidmat dengan baik demi masyarakat dan negara di samping menjalani ibadah di bulan Ramadan,” ujarnya.
Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YS, Zaini Sulaiman. – Suara.TV