Kad MySiswa, Kad Pintar pelbagai guna dan manfaat

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

PAUH – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah meluncurkan inisiatif Kad MySiswa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini pada Sabtu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), peluncurannya menepati matlamat kementerian ini untuk memperkasa dan memartabatkan mahasiswa menerusi transformasi kad matrik pelajar sedia ada menjadi kad pintar pelbagai fungsi.

Antaranya sebagai kad debit bank, kad akses kepada kemudahan dan fungsi dalaman kampus yang bersepadu seperti sistem kehadiran, sistem perpustakaan malah ianya turut dilengkapi dengan kemudahan e-dompet.

Menurutnya lagi, Kad MySiswa dulunya Kad Prihatin Siswa merupakan inisiatif bersepadu KPT bersama rakan strategik, RHB Islamic Bank Berhad sebagai komitmen dalam mendukung agenda pemerkasaan mahasiswa yang turut berpotensi memartabatkan gaya hidup mereka.

“Pelaksanaannya bermula Mac tahun lalu telah memanfaatkan hampir 550,000 orang mahasiswa di 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara,” katanya.

Katanya lagi, cetusan idea Kad MySiswa ini telah diusulkan sendiri oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 2020.

KPT melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menyambut hasrat tersebut sebagai refleksi bahawa kerajaan sentiasa peka serta memahami denyut nadi golongan mahasiswa.

Tambahnya, kad ini turut berfungsi sebagai kad promosi dan diskaun yang melayakkan pemegangnya menikmati pelbagai tawaran istimewa, potongan harga dan rebat daripada pedagang terpilih, sama ada di dalam mahu pun di luar kampus.

“Setakat bulan Mac, lebih 100 pedagang dan 319 vendor baharu di sekitar lokaliti kampus IPTA yang menawarkan keistimewaan eksklusif, diskaun juga promosi kepada para pemegang Kad MySiswa.

“Secara tidak langsung, pelaksanaan inisiatif ini bakal menjadi pemangkin transformasi ekosistem kampus nirtunai (cashless campus) seiring perkembangan dan tuntutan teknologi digital kewangan masa kini,” tambahnya lagi.

Ujarnya lagi, kementerian bersama pihak RHB sedang meneliti kebolehlaksanaan inisiatif ini untuk diperluaskan kepada pelajar politeknik, kolej komuniti dan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) agar mereka turut sama berpeluang menikmati manfaat yang setara dengan pemegang Kad MySiswa dari IPTA.

Peluncuran Kad MySiswa ini dilaksanakan bersempena Majlis Semarak Ramadan KPT @UniMAP disertai hampir 2,000 mahasiswa – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat