KK Mart saman syarikat pembekal stoking tertera kalimah Allah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) memfailkan saman pelanggaran kontrak, sabotaj dan kecuaian terhadap pengarah dan syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah di premisnya.

Dalam saman difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, KK Mart menamakan pengarah Xin Jian, Soh Chin Huat sebagai defendan pertama dan syarikat itu yang beralamat berdaftar di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, Johor sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, KK Mart mendakwa berdasarkan kontrak bertarikh 1 Disember 2021, yang juga dikenali sebagai Perjanjian Pembekalan antara KK Mart dan Xin Jian dan disaksikan Chin Huat, ia bersetuju dengan permintaan defendan untuk menjual barang konsainan di premisnya.

Menurut plaintif, dalam perjanjian itu barang berkenaan akan diletakkan oleh defendan di premis plaintif tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan di dalamnya.

KK Mart berkata, menurut Perjanjian Perbekalan itu, defendan mempunyai kewajipan undang-undang untuk menyediakan standard penjagaan yang munasabah bagi memastikan barang yang dibekalkan adalah mengikut terma kontrak dan ia juga sah di bawah Akta Jualan Barang 1957 (Akta 382).

Plaintif berkata, pada 5 Februari lalu, Xin Jian memohon membekalkan dan ia bersetuju supaya sarung tangan (arm cover) dijual sebagai asas konsainan untuk diletakkan bagi jualan di bawah kontrak.

“Berdasarkan penerangan yang diberikan defendan kedua secara bertulis, plaintif dengan suci hati membenarkan defendan kedua meletakkan barang yang dinyatakan di premis plaintif.

“Tiada pada bila-bila masa plaintif memberikan kebenaran konsainan ini dengan kod bar yang sepadan untuk digunakan sebagai paparan atau penjualan stoking kaki dalam apa jua bentuk.

“Defendan secara cuai atau melulu menjual stoking yang mengandungi kalimah ‘Allah’ tanpa pengetahuan atau persetujuan plaintif di premis Plaintif di Bandar Sunway yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Plaintif berkata, defendan tidak pernah sama sekali memaklumkan atau memberitahunya bahawa kod bar yang digunakan untuk dijual di premis plaintif adalah stoking dengan kalimah ‘Allah’.

Kata plaintif, pastinya ia tidak akan membenarkan barangan itu dijual kerana ia melanggar kontrak dan undang-undang.

Plaintif berkata, defendan secara cuai membenarkan stoking itu diletakkan di premisnya di Bandar Sunway yang seterusnya menyebabkan kerugian kepadanya.

Katanya, tindakan itu dilakukan dengan sengaja bagi mengganggu perniagaan dan merosakkan nama baik serta reputasi plaintif dalam dunia perniagaan bagi memastikan usahanya untuk menyenaraikan syarikat itu dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO).

Plaintif mendakwa, tindakan itu mensabotaj perniagaannya dan mendedahkan mereka kepada kebencian, boikot dan ugutan sehingga terpaksa menanggung kerugian.

Sehubungan itu, plaintif antara lain menuntut ganti rugi RM1.5 juta setiap minggu sehingga tarikh penghakiman berikutan kehilangan keuntungan daripada purata perniagaannya dan ganti rugi kerosakan nama jenama berjumlah RM10.5 juta.

Plaintif juga menuntut RM20.3 juta bagi pembatalan cadangan penyenaraian IPO di Bursa Malaysia, ganti rugi teruk dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian dan kos lain. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat