Inflasi Malaysia naik 1.8 peratus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia pada Februari 2024 meningkat 1.8 peratus ia didorong oleh peningkatan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (2.7 peratus); rekreasi, sukan & kebudayaan (1.6 peratus) dan pengangkutan (1.2 peratus).

Sementara itu, kumpulan utama lain merekodkan peningkatan lebih perlahan termasuk restoran dan perkhidmatan penginapan (2.9 peratus), kesihatan (2.2 peratus), makanan & minuman (1.9 peratus) dan pendidikan (1.5 peratus).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kenaikan 2.7 peratus bagi perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain disumbangkan oleh subkumpulan utama bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman pada 29.7 peratus.

Katanya, ini berikutan pelaksanaan pelarasan tarif air mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi kategori pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Labuan yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2024.

“Manakala, peningkatan inflasi pengangkutan disumbangkan oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat 1.3 peratus dan perkhidmatan pengangkutan awam (1.7 peratus),” katanya dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) Februari 2024 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 1.9 peratus pada Februari 2024.

Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.5 peratus pada bulan Februari, manakala subkumpulan utama makanan di luar rumah meningkat kepada 3.5 peratus berbanding 3.1 peratus yang direkodkan pada Januari 2024.

Peningkatan inflasi kelas perbelanjaan bijirin & produk bijirin kepada 2.5 peratus pada Februari disumbangkan oleh beras wangi import dan beras basmati yang masing-masing meningkat sebanyak 6.3 peratus dan 1.0 peratus.

Manakala, tepung gandum menurun kepada -4.3 peratus.

Inflasi kelas perbelanjaan susu, produk tenusu lain & telur pula mencatatkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus pada Februari.

Kenaikan yang lebih rendah dicatatkan oleh item perbelanjaan susu tepung sebanyak -0.8 peratus.

Sementara itu, inflasi bagi kelas perbelanjaan minyak & lemak kekal pada kadar yang sama seperti Januari 2024 iaitu -0.2 peratus.

Inflasi bagi kelas perbelanjaan daging meningkat perlahan kepada 0.5 peratus pada Februari. Bagi perbandingan bulanan, kelas perbelanjaan ini mencatatkan penurunan -0.3 peratus.

Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan daging mencatatkan penurunan kepada -0.7 peratus berbanding 0.8 peratus pada bulan Januari.

Purata harga ayam standard Malaysia adalah RM10.29 sekilogram berbanding RM10.33 sekilogram dicatatkan pada Februari 2023 dan Januari 2024.

Selain itu, inflasi bagi kelas perbelanjaan sayur-sayuran mencatatkan penurunan kepada -0.8 peratus disebabkan bekalan yang semakin stabil dan permintaan yang berkurangan di peringkat pengguna.

Antara sayur-sayuran yang menunjukkan penurunan adalah timun, sawi, tomato dan bayam hijau, namun bawang putih dan bawang merah besar masing-masing meningkat 28.5 peratus.

Mohd Uzir berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus, namun lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (2.7 peratus), Pahang (2.4 peratus), Selangor (2.1 peratus), Perlis (2.0 peratus) dan Sarawak (1.9 peratus).

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Vietnam (4.0 peratus), Filipina (3.4 peratus), Amerika Syarikat (3.2 peratus), Korea Selatan (3.1 peratus) dan Indonesia (2.8 peratus), namun lebih tinggi berbanding China (0.7 peratus) dan Thailand (-0.8 peratus).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat