Muafakat Nasional Sebaik-Baik Perjanjian – Nik Abduh

Nik Abduh

KUALA LUMPUR – “Gembirakah kita untuk kembali menukarkan air mata kasih sayang dan kegembiraan kepada kebencian, dendam dan berburuk sangka sesama umat?

Demikian pendapat ahli jawatankuasa kerja (AJK) PAS pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menyatakan perjanjian Muafakat Nasional (MN) yang mengikat PAS dan UMNO adalah sebaik-baik perjanjian.

Kata Ahli Parlimen Bachok itu, sebaik-baik perjanjian politik yang termeterai sejak berpuluh tahun adalah di Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) yang membentuk Muafakat Nasional (MN).

“Ia perjanjian yang diberkati Allah ‘dengan serta merta’ dengan kurniaan hujanan air mata rakyat di seluruh negara.

“Ia (MN) menyatukan dua kumpulan besar umat Islam yang bertelagah sejak puluhan tahun. Ia meruntuh segala marak kemarahan dan dendam, lalu terbina di atasnya rahmat dan kasih sayang sesama umat,” tegas beliau.

Kata Nik Abduh lagi, jika PAS boleh bertahan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) selama lebih tujuh tahun demi bersama menentang ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional (BN) masa itu, maka tidak malukah kita pada Allah, jika tidak mahu malu pada diri sendiri dan pada rakyat, dengan membiarkan api kepanasan terus mara dan marak sesama pemimpin yang pasti boleh menyebabkan MN runtuh dalam tempoh yang singkat?

“Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakan segala perjanjian kamu.

“Bukan diri saya namanya jika tidak bersedia memadamkan segala kebodohan ini,” luah beliau.

Untuk rekod selepas Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum 2018, UMNO dan PAS membentuk pakatan MN dan berjaya dalam beberapa pilihan raya kecil.

Bagaimanapun keputusan Bersatu keluar PH dan pembentukan kerajaan baru di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengubah dinamik dan menyebabkan PAS lebih menumpukan kepada gabungan PN dengan Bersatu berbanding MN dengan Umno.

Ketika Nik Abduh bercakap mengenai kerjasama, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki terlibat dalam perang mulut mengeluarkan kenyataan mengatakan PAS berpeluang memenangi tiga kerusi jika ia mempunyai menerima jemputan UMNO untuk kerjasama tetapi berakhir dengan tangan kosong.