Sarawak Memilih 18 Disember Ini – SPR

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember 2021 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember manakala hari pengundian awal ialah pada 14 Disember.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Disember, iaitu hari Isnin, sehingga jam 11.59 malam 17 Disember.

Abdul Ghani mengumumkan tarikh-tarikh penting berhubung PRN Sarawak itu pada satu sidang media di Kuching, pada Khamis, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum DUN Sarawak.

Seramai 1.26 juta individu layak mengundi pada PRN Sarawak ke-12 berdasarkan senarai pengundi pengundi yang dikemas kini pada 3 Oktober lalu.

Pada 3 November lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan.