KUALA LUMPUR – Melaka adalah babak penting dalam kebangkitan semula Barisan Nasional (BN) menguasai kerajaan pusat,” jangka Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, bermula dengan pelbagai kemenangan dalam pilihan raya kecil sebelum ini, Melaka adalah momentum yang menderaskan lagi usaha BN untuk menguasai semula kerajaan.

Khaled mengatakan di Melaka, BN juga telah memaparkan kesungguhannya untuk pembaharuan.

“Penampilan 87 peratus calon yang baru, bersih, dan berwibawa bermakna BN telah melepasi halangan yang sangat besar dalam usaha pembaharuannya.

“Melaka menyaksikan ‘generational change’ yang sangat BN perlukan,” katanya dalam catatan di Facebooknya, malam tadi.

Ujar Khaled mandat kepada BN menunjukkan bahawa mereka mahukan kestabilan politik dan mengekalkan kestabilan politik itulah yang akan menjadi keutamaan BN.

“InsyaAllah Melaka adalah babak penting dalam kebangkitan semula BN menguasai kerajaan pusat.

“BN juga tegas mempelopori pembanterasan politik lompat melompat yang tidak bermoral. BN sekarang akan melaksanakan pembanterasan tersebut dengan segera.

“Pengajaran terbesar dari episod pilihan raya di Melaka ialah rakyat mahukan politik yang stabil dan berprinsip,” jelas beliau.

Tegas Khaled, kestabilan hanya akan wujud jika ada sebuah parti politik yang dominan menguasai kerajaan, kerana itulah semangat sebenar sebuah sistem demokrasi ala ‘Westminster’.

“Model ‘Westminster’ bukan perikatan parti-parti kecil dan sederhana membentuk kerajaan. Situasi seperti itu adalah rumusan kepada ketidakstabilan sebenarnya.

“BN mengambil risiko yang besar dalam membuat perhitungan politiknya di Melaka. BN bukan jenis ‘risk averse’ atau mengelak risiko. Malah ia sanggup menghadapi segala risiko demi keberhasilan yang berlipat ganda.

“Perang terbesar yang BN harus hadapi selepas ini ialah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). BN tidak akan melepaskan peluang ini untuk kembali mentadbir Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, Melaka telah memberikan BN suatu keyakinan bahawa ia sebenarnya adalah ‘pilihan’ terbaik untuk Malaysia.

“Politik yang sederhana, menghargai kemajmukan dan progresif serta pengalaman mengurus kepelbagaian yang telah teruji.

“Tetapi perjalanan BN menuju PRU15 bukanlah mudah. Pengundi milenial dan sokongan bukan Melayu adalah cabaran yang sangat mencabar. BN perlu bekerja keras bagi menanganinya,” ujarnya.