KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon bersama Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, Jumhur Hidayat hari ini berhubung situasi cuaca panas, fenomena El Niño serta isu jerebu merentas sempadan yang sedang melanda rantau ini.
Arthur berkata, Malaysia menghargai dan menyokong tindakan pantas kerajaan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto yang meningkatkan usaha memadam kebakaran hutan dan tanah (karhutla).
Antara langkah yang dilaksanakan Indonesia ialah penambahan 1,500 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), penggunaan helikopter berkapasiti besar bagi operasi water bombing serta pelaksanaan operasi modifikasi cuaca secara agresif.
Menurut Arthur, antara perkara utama dibincangkan ialah persediaan kedua-dua negara menghadapi fenomena El Niño yang dijangka semakin menguat menjelang Oktober 2026 ketika rantau ini turut berdepan Monsun Barat Daya.
Sehubungan itu, Malaysia dan Indonesia komited untuk meningkatkan tindakan pencegahan serta pemadaman awal bagi mengelakkan kebakaran daripada merebak dan menjejaskan kualiti udara serantau.
Usaha itu juga penting bagi memastikan keadaan kualiti udara bertambah baik menjelang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 pada 31 Ogos serta Hari Malaysia pada 16 September yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak.
Dalam perkembangan sama, Arthur berkata Malaysia bersedia membantu Indonesia sekiranya bantuan diperlukan bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang sedang berlaku.
Kesediaan itu dibuat atas semangat kejiranan dan solidariti ASEAN, khususnya dalam membantu usaha pemadaman segera kebakaran.
Sekiranya Indonesia mengemukakan keperluan bantuan khusus, perkara berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi mendapatkan ketetapan selanjutnya.
Malaysia pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Indonesia kerana memberikan persetujuan dan kebenaran rasmi untuk merentasi ruang udara negara itu bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang melibatkan kawasan sempadan kedua-dua negara.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) kini sedang merangka jadual operasi berkenaan sebelum diselaraskan bersama Panglima TNI.
Kerjasama berkenaan dilihat penting susulan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia yang mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan jerebu merentas sempadan, terutama sekiranya keadaan cuaca kering berterusan.
Arthur berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus memantau rapi pergerakan titik panas serta tahap kualiti udara semasa menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MET Malaysia.
Pada masa sama, hubungan serta penyelarasan dengan pihak berkuasa Indonesia akan terus diperkukuhkan demi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya keadaan bertambah buruk.
“NRES akan terus memantau rapi pergerakan titik panas dan kualiti udara semasa menerusi JAS serta MET Malaysia, di samping mengekalkan hubungan erat bersama pihak berkuasa Republik Indonesia demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.



