KUALA LUMPUR – Seramai 10 orang cedera dalam satu kemalangan melibatkan permainan roller-coaster dalam satu kejadian di sebuah taman tema di Subang Jaya, Sabtu lepas.
Polis Diraja Malaysia sedang menyiasat punca insiden itu berlaku.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dalam satu kenyataan hari ini berkata kejadian itu berlaku semasa 22 orang sedang menaiki roller-coaster berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, seramai 10 mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke pusat perubatan di sekitar Subang Jaya bagi mendapatkan rawatan,” katanya menurut kenyataan itu.
Mangsa terdiri daripada warga tempatan dan pelancong luar negara berusia 11 hingga 44 tahun.
Wan Azlan berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 11.45 pagi pada keesokan hari.
Tambah beliau, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan sedang dijalankan pihak polis.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya ditalian 03-78627100 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.



