Vaksin: ATM Ada Kuasa Budi Bicara Pecat Anggota Ingkar Perintah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh menggunakan kuasa budi bicara dan memberhentikan anggota yang mengingkari perintah tanpa memberikannya peluang untuk membela diri.

Peguam, Leftenan Komander (B) Zalil Mohd Mess berkata, budi bicara itu amat luas dan anggota terbabit boleh diberhentikan pada bila-bila masa dan ia tidak boleh dipersoalkan di mahkamah awam.

Katanya, anggota diberhentikan tidak boleh mempersoalkan keputusan berkenaan walaupun ia kelihatan tidak wajar atau munasabah.

“Mengikut peruntukan undang-undang, seorang askar tidak boleh mengingkari perintah sah mengikut tafsiran dalam Buku Panduan Angkatan Tentera…memerintahkan seorang anggota diberikan rawatan elektrik atau memakan ubat atau dadah adalah suatu perintah sah di sisi undang-undang.

“Sesiapa yang mengingkarinya boleh dituduh mengikut Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972 dan dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan hukuman maksimum ialah penjara 14 tahun dan diberhentikan daripada perkhidmatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Dengan berkuat kuasa Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera (Terma Perkhidmatan bagi Angkatan Tetap) 2013, Panglima perkhidmatan di bawah Peraturan 61(1) diberikan kuasa budi bicara untuk memberhentikan askar laskar atas alasan perkhidmatan tidak lagi dikehendaki atau demi kepentingan perkhidmatan yang memerlukan tindakan sedemikian,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas kes seorang anggota tentera, Sarjan Wan Ramli Wan Seman yang mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini, selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin Covid-19.

Wan Ramli, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan terdedah kepada kehilangan keistimewaan diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera (Pencen dan Faedah-Faedah Perkhidmatan) 1981.

Sementara itu, peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, Akta Angkatan Tentera 1972 memperincikan undang-undang berkaitan pengambilan dan pemecatan dan kontrak kerja yang mungkin ditandatangani antara ATM dan anggotanya (sekiranya ada) dan sebarang persoalan perlu merujuk kepada akta berkenaan.

Beliau berkata, Seksyen 28 membenarkan ATM memecat anggotanya (tertakluk kepada prosedur perlu dipatuhi) manakala Perintah Atasan atau Perintah Tetap boleh menyebabkan seseorang anggota dipecat jika gagal mematuhinya.

Katanya, jika wujud sebarang perintah atasan atau perintah tetap dikeluarkan ATM dalam mewajibkan vaksinasi, asas ini akan digunakan untuk memecat anggota yang tidak mahu divaksinasi.

“Berbalik kepada skop kerja seorang anggota tentera, vaksinasi amat penting kerana membabitkan interaksi dengan anggota lain dan keselamatan negara (sekiranya ramai askar dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia kerana keengganan untuk divaksin).

“Bagaimanapun, ini tidak bermaksud ATM atau majikan boleh memecat pekerja dengan sewenang-wenangnya hanya disebabkan pekerja tidak mahu divaksin.

“Oleh kerana perihal pengambilan dan pemecatan adalah tertakluk kepada akta, perintah dan kontrak perkhidmatan (jika ada) yang dimasuki antara seorang anggota tentera dan ATM, maka pemecatan atas alasan keengganan divaksinasi masih perlu melalui proses sama dengan pemecatan atas alasan lain,” katanya.

Muhammad Akram berkata, seperti perkhidmatan bukan tentera, proses pemecatan perlu dilakukan oleh majikan dengan teliti dan mengikut prosedur betul. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat