KUALA LUMPUR – Kesatuan Eropah (EU) memberi maklum balas positif terhadap usaha Kementerian Perladangan dan Komoditi berkaitan usaha Malaysia mengurangkan kadar penebangan hutan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan, baru-baru ini dalam perbincangan dua hala antara pihak kementerian dan EU berkenaan isu European Union Deforestation-free Regulation (EUDR) dan MSPO, Malaysia telah mendapat respon yang positif berkaitan usaha Malaysia untuk mengurangkan kadar penebangan hutan.
Kata beliau, EU juga memberi pengiktirafan yang bermakna atas komitmen Malaysia terhadap pengeluaran produk komoditi yang mampan.
Perkembangan lain, Johari mengumumkan penjenamaan semula Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) sebagai Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Pertukaran nama MPOCC kepada MSPO tersebut merupakan salah satu inisiatif pemantapan penjenamaan semula MSPO sebagai sebuah skim pensijilan minyak sawit yang berkualiti dan terbaik di dunia.
“Usaha-usaha mempromosi MSPO ini akan disempurnakan lagi dengan pelancaran Pelan Tindakan Strategi MSPO tahun 2024 sehingga 2026 yang mengutamakan 57 inisiatif strategik, merangkumi tiga strategi utama iaitu membina skim pensijilan kemampanan yang teguh dan boleh dipercayai;memastikan pematuhan pemain industri dan memberi nilai tambah kepada pensijilan MSPO; dan memperluaskan pengiktirafan dan penerimaan MSPO,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
MSPO juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat institusi pengajian tinggi iaitu IIUM Higher Education Sdn Bhd, Persatuan Regenerasi dan Kelestarian Alam, Kolej FELCRA dan City University.
Seramai 10 Duta Belia MSPO dari setiap institusi telah dipilih bagi mempromosi dan memberi kesedaran kepada pelajar lain berkenaan pensijilan MSPO.