SPRM Kedah Tahan 47 Individu, Tahun Ini

- Advertisement -

Alor Setar – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan seramai 47 individu termasuk 10 penjawat awam dalam tempoh 1 Januari sehingga semalam.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, kesemua ditahan terdiri daripada 18 individu bekerja dalam sektor swasta, kakitangan sokongan di jabatan kerajaan (10), kakitangan pengurusan atau profesional (lima) dan orang awam (14).

“Jumlah sitaan dan pembekuan harta keseluruhan mencecah RM868,000 membabitkan wang tunai, barang berharga serta kenderaan.

“Ia membabitkan 30 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan,” katanya selepas melancarkan program Kibar Jalur Gemilang SPRM Kedah di Plaza Tol Alor Setar Utara hari ini.

Katanya, daripada 30 kertas siasatan, kes tuntutan palsu merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 12 kes.

“Tujuh kes membabitkan kesalahan menerima rasuah yang disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009, manakala enam kes di bawah Seksyen 17(a) akta sama.

“Selain itu, empat kes merupakan kes suapan dan satu kes pengisytiharan harta,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, empat pertuduhan telah dilakukan di mahkamah melibatkan dua kes memberi rasuah dan dua kes menerima rasuah.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, tiada pengurangan dari segi tindakan untuk pantau aktiviti rasuah, namun jumlah kes tidak sebanyak seperti sebelum ini.

“Kebanyakan kes melibatkan tuntutan palsu dan dalam tempoh itu, kita menahan lapan individu swasta,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun 2019, sebanyak 115 tangkapan dengan 14 pertuduhan serta 74 kertas siasatan dilakukan SPRM Kedah.

Shaharom Nizam berkata, pelbagai usaha dilakukan agar negara dapat meningkatkan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan pada pelancaran hasil CPI 2019, Januari lalu mengumumkan Malaysia berada pada kedudukan 51 pada 2019, berbanding kedudukan ke-61 pada 2018.

Mengulas lanjut, katanya, antara cabaran dihadapi pihaknya dalam menyelesaikan sesuatu kes ialah saksi gagal dikesan serta dokumen gagal ditemui menyebabkan kes berlarutan lama.

“Sebab itu kita perlukan kerjasama masyarakat untuk salurkan maklumat berkaitan. Kita bukan sekadar merdeka daripada penjajah tetapi perlu merdekakan diri daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, SPRM turut semarakkan kempen merdeka pada sambutan kemerdekaan bulan ini untuk pastikan rasuah dihindari bermula dari keluarga.

“Kempen ini diharap menyedarkan masyarakat dan penjawat awam serta swasta agar menolak rasuah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat