PTVM rayu kerajaan tambah peruntukan kepada RTM demi kelangsungan industri kreatif negara

KUALA LUMPUR, – Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) hari ini mengemukakan rayuan terbuka kepada kerajaan agar mempertimbangkan penambahan peruntukan tahunan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), penyiar rasmi negara, dalam Belanjawan 2026 yang sedang dirangka.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, meskipun kerajaan telah menunjukkan komitmen jelas dalam menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), aspek pembangunan minda dan jati diri bangsa juga wajar diberi perhatian serius – terutamanya melalui saluran penyiaran awam seperti RTM.

“Pembinaan negara bangsa yang progresif tidak hanya terletak pada penyediaan keperluan asas seperti makanan, pendidikan dan kesihatan semata-mata. Nilai, budaya, semangat kenegaraan serta identiti nasional juga harus diperkukuhkan melalui kandungan televisyen yang berwibawa dan menyentuh nurani rakyat,” katanya dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Jurey menegaskan bahawa RTM, yang telah berkhidmat selama lebih 75 tahun, kekal sebagai medium strategik dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat, selain menjadi medan penting membina naratif nasional yang inklusif dan berteraskan nilai Malaysia.

“Dalam keterbukaan media hari ini, RTM masih menjadi sumber maklumat paling dipercayai oleh sebahagian besar rakyat, terutamanya di luar bandar. Namun, cabaran besar sedang menimpa dari segi peruntukan yang tidak mencukupi, hingga kepada peningkatan kos operasi yang menekan penerbit dan penggiat industri,” ujarnya.

RTM kini mengendalikan lima saluran penyiaran utama TV1, TV2, TV Okey, Berita RTM dan Sukan RTM. Namun, menurut PTVM, jumlah peruntukan yang diterima saban tahun tidak berkembang selari dengan keperluan pengisian kandungan yang semakin meningkat.

Menurut Jurey lagi antara kesan langsung kekangan bajet ini termasuklah pengurangan jumlah episod bagi setiap program, yang walaupun membuka peluang kepada lebih banyak syarikat penerbitan berkarya, tidak menyelesaikan isu utama iaitu kelangsungan operasi syarikat penerbitan kecil dan sederhana yang kini terhimpit dengan margin keuntungan yang semakin mengecil.

Ekosistem Kandungan Tempatan Dalam Keadaan Genting

“Banyak syarikat kini meneruskan penerbitan dengan untung yang sangat kecil atau sekadar pulang modal. Demi mempertahankan nama dan reputasi, ada yang sanggup berkorban. Namun situasi ini tidak boleh berpanjangan,” tegas beliau.

Dalam kenyataan itu, PTVM turut membangkitkan kebimbangan terhadap ledakan kandungan digital yang bersifat negatif dan sarat dengan unsur ideologi asing di media sosial yang berpotensi menggugat persepsi masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“RTM tidak boleh dibiarkan bertarung bersendirian di medan digital yang rencam ini. Tanpa bajet mencukupi, RTM tidak mampu menghasilkan kandungan yang segar, berdaya saing, dan mampu mengimbangi dominasi kandungan luar atau ideologi songsang,” katanya.

PTVM menyifatkan penambahan peruntukan kepada RTM bukan sahaja penting untuk menyelamatkan institusi penyiaran nasional, tetapi juga sebagai usaha menyelamatkan keseluruhan ekosistem industri kreatif negara yang kini berada dalam keadaan rapuh.

Pelaburan strategik kepada masa depan nangsa

Antara cadangan yang dikemukakan oleh PTVM sekiranya peruntukan tambahan diluluskan termasuklah:

  • Meningkatkan jumlah penerbitan kandungan tempatan;
  • Menyediakan kadar bayaran lebih adil kepada syarikat penerbitan;
  • Memberi lebih banyak peluang kepada penggiat baharu dan bakat muda;
  • Meningkatkan penghasilan dokumentari, drama patriotik dan program berteraskan ilmu yang dapat menyemai jati diri nasional.

“RTM adalah medan strategik untuk menanam nilai, budaya dan identiti bangsa. Jika kita tidak memperkasakan RTM hari ini, ruang itu akan diisi oleh anasir luar yang menyebarkan ideologi bertentangan dengan aspirasi kebangsaan,” jelas beliau.

“Kita membina negara bukan hanya dengan jalan raya dan jambatan, tetapi juga dengan isi kandungan siaran yang membentuk cara fikir rakyat. Jangan biarkan RTM mati perlahan-lahan kerana kekangan bajet,” katanya menutup kenyataan.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat