KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kritikan pembangkang yang meremehkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara one-off melalui MyKad kepada semua warganegara dewasa pada Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025 ini.
“Semalam saya umumkan beberapa langkah tambahan, tak apalah singgung dunia politik itu tak apalah ya. Mereka kata RM100 saja?
“Ya lah, kamu gaji RM20,000 sebulan, RM40,000 sebulan – RM100 tak ada apa-apa -tapi saya tahu kalau kita pergi ke kampung jumlah itu beri makna.
“(SARA) ini (peruntukan) tambahan – kalau dengar ahli-ahli pembangkang di Parlimen mereka pertikai RM100 ja? RM100 ja? Dia tak baca ka bila saya sebut rabun mata dia marah.
“Itu polemik- RM100? Itu RM100 jadi RM15 bilion -kalau keluarga itu miskin ada 2 anak umur 18 ke atas, suami isteri dapat RM400 tambahan daripada STR, SARA sekarang kalau dia dah ada RM300 sekarang dicampur lagi RM400 jadi RM700 (jumlah) itu tak kecil.
“Tapi jangan remehkan RM100 saja nak beli apa? Jangan (perlekeh) -itu upaya kita tambah daripada peruntukan sedia ada,” bidas Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika perhimpunan kementerian itu pada Khamis.
Beliau menjelaskan pengumuman ini adalah peruntukan tambahan daripada RM13,000 bilion jadi RM15,000 untuk tahun ini bagi STR dan SARA
ini cuma tambahan daripada yang telah dilaksanakan.
Sementara itu Anwar juga menempelak suara-suara sumbang pembangkang yang mempertikai warga asing tidak menikmati subsidi petrol RON95 apabila beliau mengumumkan hanya rakyat Malaysia layak menikmati harga petrol RM1.99 manakala bukan warganegara perlu membayar mengikut harga pasaran.
“Penurunan harga minyak itu mesti saya buatlah. Walaupun kita bicarakan soal turun harga minyak saya telah beritahu ada rasionalnya semasa minyak di Arab Saudi 50sen sekarang RM1.99 atau RM2 walaubagaimanapun kita turun jugak tapi kita katakan untuk orang asing kena ikut harga pasaranlah, itulah yang kita tetapkan kemudian.
“Ada juga pembangkang yang sebut pasal apa nak bebankan mereka (warga asing), saya rasa aneh, what do you do?
“Maksud saya boleh tegur dan kritik saya tak ada masalah tapi bagaimana ada di Malaysia ada orang kata begitu? Bukan kita pi dera, bukan kita pergi rampas hak dia.
“Ini subsidi bukan maknanya cukai tambahan minyak mereka-dak. Ini maknanya subsidi yang kita bagi 50 sen setiap 1 liter itu kita tarik tak bagi subsidi kerana di negara mereka harga lebih tinggi daripada RM2.30 di Singapura, Thailand di Indonesia semua lebih tinggi
jadi kita tarik subsidi itu kepada orang asing -itu pun salah juga,” selar Pengerusi PH itu lagi.



