KUALA LUMPUR – Bersatu menyokong kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyertai Perikatan Nasional (PN) sebaliknya hanya membantah penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM).
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, bantahan terhadap PCM dibuat kerana kemasukannya berpotensi mencetuskan konflik dalaman dalam PN dan proses permohonannya didapati tidak teratur.
“Laporan Utusan Malaysia bertarikh 26 Jun 2026 bertajuk “Lapan MT PN Bantah Penyertaan Wawasan, Pejuang” adalah tidak tepat, tidak benar dan mengelirukan.
“Bersatu ingin menegaskan bahawa parti ini menyokong kemasukan Pejuang ke dalam PN dan hanya membantah kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM). Sehubungan itu, Bersatu berharap Utusan Malaysia dapat segera membetulkan tajuk serta kandungan laporan yang telah disiarkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Seperti yang dijelaskan oleh Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam kenyataan media beliau pada 25 Jun 2026, bantahan terhadap PCM dibuat kerana kemasukannya berpotensi mencetuskan konflik dalaman dalam PN dan proses permohonannya didapati tidak teratur.
“Permohonan tersebut dibuat atas nama PCM, namun maklumat kepimpinan yang dikemukakan adalah atas nama Parti Wawasan Negara, sedangkan pertukaran nama parti serta perubahan kepimpinan tersebut masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
“Dalam kenyataan yang sama, Datuk Seri Ahmad Faizal turut menegaskan bahawa BERSATU kesal dengan tindakan Pengerusi PN yang didakwa mendesak Majlis Tertinggi PN menerima kemasukan PCM secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira implikasi Akta Pertubuhan 1966 serta keperluan mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” jelas beliau.
Pengasas Gerakan Reset Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengambil alih PCM dengan menukar nama kepada Parti Wawasan Negara (Wawasan).



