“Lokman cadang Hishammuddin buat rayuan sendiri, beritahu beliau juga tulis surat 8 kali kepada Umno”

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Noor Adam mencadangkan bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussein perlu menunjukkan kesungguhan bahawa dia benar-benar sudah insaf dan membuat rayuan sendiri agar penggantungannya ditarik balik.

Lokman berkata keputusan untuk menggantung atau memecat keahlian seseorang dalam Umno diputuskan oleh majlis kerja tertinggi (MKT) parti berkenaan.

Menurut Lokman, perbincangan mengenai kemungkinan kedudukan Hishammuddin berubah hanya dibuat apabila ia dibincangkan dalam mesyuarat MKT Umno tetapi setakat ini belum ada permohonan mengenainya dibuat.

“Saya belum pernah lagi dengar tuan punya badan (Hishammuddin) merayu. Yang saya tahu tuan punya badan tak nak merayu.

“(Justeru) bagi saya isu ini tak perlu dibincangkan (sebab) kalau tuan punya badan sendiri tak berminat, kemungkinan besar MKT tak bincang dalam mesyuarat,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Untuk rekod, Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun selepas MKT parti itu mengadakan mesyuarat pada pada hujung Jan 2023.

Turut dikenakan hukuman bersama Ahli Parlimen Sembrong itu bekas menteri terbabit ialah Timbalan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan Suffian, Tan Sri Noh Omar (bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang), Salim Sharif (bekas Ahli Parlimen Jempol) dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.

Noh bagaimanapun meminta agar Umno memecatnya.

Bagaimanapun kenyataan dikeluarkan Umno pada tarikh berkenaan tidak menyatakan sebab mereka digantung.

Pada 21 Jun lalu pula, Umno Sembrong menggesa Umno menarik balik penggantungan terhadap Hishammuddin secara serta-merta dan tanpa syarat.

Ketua Umno Sembrong Abdul Ghani Abdul Rashid berkata ia adalah kali kedua dalam tempoh dua tahun mereka meluluskan usul berkenaan.

Hishammuddin, 63, merupakan antara tokoh berprofil tinggi yang dikenakan tindakan disiplin oleh Umno. Selain pernah menjadi naib presiden, anak kepada perdana menteri ketiga Malaysia itu pernah menjawat pelbagai jawatan kanan termasuk menteri pertahanan.

Lokman berkata selepas dipecat dari Umno, dia menulis sehingga lapan pucuk surat bagi merayu agar diterima semula menjadi anggota parti berkenaan.

Justeru, kata ahli MKT Umno itu lagi, jika benar Hishammuddin serius sudah insaf dan berhasrat kembali setia kepada parti, apa yang perlu dilakukan ialah merayu kepada badan terbabit.

“Beliau juga sewajarnya menunjukkan taat setia kepada parti. MKT Umno perlu diyakinkan bahawa beliau benar-benar bersama parti dan bukan bersama PN,” katanya lapor portal itu lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat