Duta Enclave kekal milik kerajaan tapi Semantan Estate layak dapat pampasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta yang dikenali sebagai Duta Enclave kekal menjadi milik kerajaan selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan bahawa Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan) layak mendapat ganti rugi bagi tanah yang telah diceroboh kerajaan.

Sehubungan itu, panel mengarahkan pihak-pihak terlibat untuk mengemukakan jumlah ganti rugi yang wajar diterima atas tanah yang telah diceroboh berdasarkan nilai tanah pada 1956.

Semantan Estate juga layak mendapat faedah enam peratus setahun atas jumlah ganti rugi itu bermula dari 1956 sehingga penyelesaian penuh.

Pihak kerajaan merayu kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 7 Ogos 2024 yang membenarkan saman pemula Semantan terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk memindah milik dan mendaftarkan syarikat itu sebagai pemilik tanah terbabit dalam tempoh tiga bulan.

Semantan Estate pula merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 27 Oktober 2021 yang menolak semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan tanah seluas 106.542 hektar tersebut.

Syarikat terbabit turut memohon agar perintah pindah milik dikuatkuasakan sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009.

Semantan Estate memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah tersebut untuk dibangunkan bagi penempatan diplomat dan duta, lapor Utusan pada Selasa.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan agar perintah yang diputuskan sebelum ini dikuatkuasakan.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Bagaimanapun, pada November 2012, Mahkamah Persekutuan mengekal keputusan mahkamah terdahulu yang memutuskan kerajaan menceroboh tanah tersebut apabila mengambil alih melalui Enakmen Pengambilan Tanah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat