Pak Nil berjaya kumpul RM55,000 untuk Zamani

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Usaha personaliti popular, Datuk Aznil Nawawi, 59, mencari dana membantu membiayai kos pembedahan tulang belakang penyanyi Zamani Slam yang menderita penyakit tulang belakang atau skoliosis mendapat sambutan peminat apabila berjaya mengumpul sebanyak RM55,000 dalam tempoh 24 jam.

Perkara ini diumumkan Aznil atau Pak Nil menerusi Facebook dan beliau turut memuatnaik rakaman perbualannya dengan penyanyi lagu Gerimis Mengundang ini sebagai bukti.

Menerusi perbualan terbabit, Aznil  bertanya khabar perkembangan terbaru kesihatan Zamani dan meminta maaf kerana membuat kutipan tanpa pengetahuan penyanyi itu.

“Minta maaf Pak Nil buat kutipan untuk Zamani tak cakap dengan Zamani sebab Pak Nil tahu Zamani kata tak nak meminta-minta.

“Tapi Pak Nil kata tak apa biar Pak Nil yang buat. Zamani nak buat ‘show’ banyak-banyak, Pak Nil rasa keadaan Zamani nanti lagi memudaratkan,” katanya.

Aznil juga sudah mengosongkan akaunnya serta memaklumkan kepada pihak bank yang dia akan menerima dana daripada orang ramai kerana bimbang bank membekukan akaunnya apabila menerima kemasukan wang yang banyak.

“Dalam masa kurang 24 jam dapat kumpul dekat RM40,000. Ada yang hantar seringgit, ada yang hantar dua ringgit dan lima ringgit. Ramai sayang awak,” katanya.

Zamani dalam nada terharu berterima kasih kepada Aznil kerana sudi membantunya.

Dia bagaimanapun enggan menerima wang itu terlebih dahulu dan meminta Aznil menyimpannya sehingga tiba waktu pembedahan dijalankan.

Pak Nil bagaimanapun meminta Zamani mengambilnya untuk kegunaan rawatan kerana tidak mahu Zamani risau dan tertekan kerana boleh memudaratkan kesihatannya.

Beliau turut meminta Zamani supaya jangan malu kerana ini caranya membantu bersama orang ramai.

Terdahulu, pengurus Zamani iaitu Aalan Ahmad meminta pihak yang mahu mewujudkan tabung dana untuk Zamani, agar tidak berbuat demikian kerana Zamani masih di peringkat awal rawatan.

Dia juga bimbang serta tidak mahu wujudnya scammer yang mengambil kesempatan dengan membuka akaun palsu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,591FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat