Hormati kesucian Ramadan

Ramadan adalah bulan untuk umat Islam melipatgandakan amalan dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Di dalam bulan yang mulia ini, kita dituntut menjaga tutur bicara dan pergaulan, mengelakkan permusuhan dan persengketaan, memperbanyakkan membaca al-Quran, meningkatkan amalan wajib dan sunat, menghidupkan malam dengan amal ibadah serta bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

Mereka yang berusaha bersungguh-sungguh menghidupkan malam di bulan Ramadan dengan amal soleh akan diberikan ganjaran yang sangat besar di sisi Allah SWT.

Di dalam bulan Ramadan juga, umat Islam diperintahkan agar menjauhkan diri daripada amalan kemungkaran yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Elakkan diri daripada melakukan perbuatan dosa seperti berjudi, mencuri, meninggalkan solat, memfitnah, mengumpat, membazirkan makanan dan lain-lain perkara yang menjerumus kepada kerosakan diri serta orang lain.

Begitu juga perbuatan atau perkataan yang membangkitkan syahwat seperti khalwat, zina serta apa-apa perkataan yang tidak senonoh atau tidak sedap didengar. Selain daripada berpuasa di siang hari dengan menahan diri daripada makan dan minum, umat Islam harus memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang boleh merosakkan pahala serta amalan puasa.

Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Di Wilayah Persekutuan, berdasarkan peruntukan Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 15 Tidak Menghormati Ramadan dinyatakan bahawa ‘Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan (a) menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau (b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.’

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melaksanakan kempen kesedaran dari semasa ke semasa melalui media sosial, seminar, aktiviti temu seru dan rondaan secara berkala ke premis dan lokasi yang dikenal pasti bagi menyampaikan penerangan dan nasihat kepada masyarakat awam mengenai kesalahan tidak menghormati Ramadan agar umat Islam sentiasa berwaspada.

Isu tular berkenaan video yang mempromosikan kegiatan perjudian berkonsepkan sambutan hari raya yang menjadi hari kemuliaan bagi umat Islam baru-baru ini misalnya, amat tidak wajar dilakukan lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadan yang mulia. Siasatan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan mereka yang terlibat supaya bertaubat.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kenyataannya berkata sekiranya ada pihak beragama Islam yang terlibat dalam produksi pengiklanan tersebut, tindakan juga boleh diambil di bawah Akta atau Enakmen negeri-negeri yang berkuatkuasa di bawah kesalahan mendorong atau menggalakkan orang lain melakukan maksiat.

Selain itu, mereka juga boleh didakwa di bawah kesalahan menyebabkan agama Islam dipandang hina. Semua pihak perlu menghormati sensitiviti agama dalam segenap aspek kehidupan bermasyarakat terutama ajaran Islam yang menjadi agama bagi Persekutuan. Manakala bagi umat Islam mereka harus memelihara diri daripada terjebak dengan perbuatan dan pekerjaan yang menyalahi syariat Islam lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia.

Menghormati kesucian Ramadan adalah menjadi tanggungjawab kita semua. Di dalam ajaran Islam, walaupun seseorang mengalami keuzuran yang dibenarkan oleh syarak, ia tidak semestinya menjadi alasan untuk seseorang makan dan minum di tempat awam tanpa segan silu. Walaupun hukum bagi seseorang yang mempunyai keuzuran untuk tidak berpuasa, makan di siang hari bulan Ramadan adalah harus, namun lebih afdal sekiranya dilakukan di tempat yang sunyi daripada penglihatan orang ramai bagi menjaga dan memelihara diri daripada fitnah serta menyelamatkan orang ramai daripada sangkaan buruk sehingga mengundang dosa.

Di dalam hal ini, contoh yang ditunjukkan oleh jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei baru-baru ini di dalam mendidik anak-anaknya tentang sensitiviti amalan berpuasa di bulan Ramadan amat wajar dijadikan teladan.

Beliau menarik perhatian netizen apabila berkongsi cerita mendidik anaknya menghormati rakan beragama Islam yang sedang berpuasa agar tidak makan dan minum di hadapan mereka. Beliau turut menjelaskan kepentingan sikap bertolak ansur dan saling hormat menghormati antara agama dan bangsa bagi menjamin keharmonian. Sifat toleransi antara agama yang berbeza di negara ini menjadikan rakyat Malaysia dapat meraikan pelbagai perayaan dalam suasana muhibbah.

Bahkan segelintir rakan bukan Islam di negara kita turut mengambil kesempatan untuk belajar berpuasa di dalam bulan Ramadan dengan bangun bersahur dan berbuka puasa seperti umat Islam yang lain. Jangan pula kita menjadi penghalang orang lain untuk melaksanakan perintah agama seperti berpuasa sebagaimana kes pengawal peribadi yang dipukul sehingga lebam dan luka teruk oleh majikannya kerana berpuasa. Sifat keterbukaan dalam amalan kehidupan masyarakat majmuk selama ini perlu diteruskan oleh setiap anggota masyarakat.

Di Malaysia, agama Islam termaktub sebagai agama Persekutuan namun kebebasan beragama tetap diamalkan. Hak-hak kepercayaan agama lain diraikan selagi tidak mengganggu ketenteraman, menyusahkan atau tidak membawa mudarat kepada mana-mana pihak.

Ramadan seharusnya menjadi bulan mendidik masyarakat untuk saling memahami, bertoleransi dan menghayati kesusahan insan lain. Ramadan adalah sebuah madrasah tarbiyah yang sekiranya dilalui dengan penuh iltizam dapat mempertingkatkan darjat ketakwaan kepada Allah SWT. Perkara ini selaras dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Harian Metro

Topik Hangat

Lompat parti tak salah, SPRM tak berhak siasat – Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh melakukan siasatan ke atas ahli politik yang lompat parti kerana ia tidak menyalahi undang-undang...

‘Alhamdulillah aku dah cerai’ – Bekas suami Zarina Anjoulie

Kuala Lumpur: Bekas suami Zarina Anjoulie, Eilyas Azhar mengakui sudah menceraikan pelakon itu hari ini. Eilyas menerusi hantaran di Instagram Story mengakui bersyukur dengan penceraian...

Hamid Dedah Hamzah Mahu Guna Cawangan Khas Untuk Kepentingan Politik : Laporan

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador mendakwa wujud campur tangan Menteri Dalam Negeri (MDN) untuk menentukan...

Berita Berkaitan

Ramai Instafamous tak berbakat dalam lakonan

Kuala Lumpur: Penerbit Jaja Ishak tidak bersetuju dengan trend pempengaruh (instafamous) yang dipilih sebagai pelakon. Jaja berkata, dia seboleh mungkin cuba mengelak kerana ramai lagi...

Terima kasih bantu Khalis

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah banyak pihak perubatan Islam yang bantu dengan rawatan secara jarak jauh. Juga iringan doa daripada sahabat dan peminat serta rakyat Malaysia, keadaan...

Himaya, artis jayakan kempen anti buli siber

Kuala Lumpur: Menyedari masalah buli siber yang semakin parah, Ketua Pegawai Operasi Anggun Kirana Sdn Bhd dan Pengasas Himaya Premium Hijab Medical Mask, Datuk...