Asyraf, Tya mohon maaf pada Siti

- Advertisement -

SUBANG JAYA: Pasangan suami isteri, Asyraf Khalid dan Tya Arifin sudah memohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza atas insiden memuat naik gambar bayi kedua sebaik dilahirkan pada Isnin lalu.

Ia termasuk video memaparkan suasana Siti menerima kunjungan tetamu di sebuah hospital di Selangor selepas melahirkan anak kedua pada 19 April lalu hingga tular dan didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Asyraf berkata, dia sudah memadamkan video dan gambar dimaksudkan dalam Instagram dan YouTube.

“Kami sudah menghubungi Mak Iti (Siti Nurhaliza) memohon maaf menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon.

“Mak Iti berpesan jadikan perkara ini sebagai iktibar pada masa akan datang. Insya-Allah, kami akan melawat Mak Iti berpantang di rumahnya, hujung minggu ini,” kata Asyraf. Pasangan berkenaan ditemui pada majlis berbuka puasa di Wisma Mutyara di Puchong, petang semalam.

Asyraf berkata, apa yang dilakukannya sebagai abang yang teruja berkongsi gambar dan momen bersama seorang adik.

“Cuma, saya tak sangka perkongsian jadi lain. Apa yang dilakukan berdasarkan pengalaman dan rasa suka.

“Saya tak seronok dengan Mak Iti selepas gambar ini tular. Tak pasal timbul cerita bukan-bukan.

“Apa terjadi bukan salah Mak Iti atau sesiapa. Salah datangnya daripada kami. Kami minta maaf kepada sesiapa yang terguris hati termasuk Mak Iti,” katanya.

 

Asyraf Khalid dan Tya Arifin menghubungi Datuk Seri Siti Nurhaliza atas insiden yang tular. - NSTP/Asyraf Hamzah
Asyraf Khalid dan Tya Arifin menghubungi Datuk Seri Siti Nurhaliza atas insiden yang tular. – NSTP/Asyraf Hamzah

 

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia dan isterinya masuk ke pusat perubatan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kami masuk hospital dengan memakai pelitup muka, jaga jarak, melakukan pengimbasan kod QR My aplikasi MySejahtera dan pengambilan suhu badan. Kami datang berdua dan mengambil video dengan telefon bimbit sendiri.

“Tak timbul isu kami cuba menumpang populariti mencari kandungan digital membabitkan Mak Iti. Isteri sendiri sudah pun terbiasa membuat Vlog, setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Tya berkata, apa yang terjadi sesuatu yang canggung buat dirinya.

“Jujurnya, saya rasa bersalah dengan apa yang terjadi. Walaupun sudah minta maaf kepada Mak Iti, ayah, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa dan peminat, tetapi masih rasa tak seronok.

“Ramai yang marah, tetapi mereka berhak rasa begitu. Sempena bulan Ramadan ini, saya dan suami tak mahu memanjangkan perkara ini. Buang keruh, ambil yang jernih.

“Sebaiknya biarlah Mak Iti berpantang dan membesarkan bayi kedua dengan tenang. Sebagai ibu, momen inilah yang ditunggu Mak Iti untuk melihat anak-anaknya membesar,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat