‘Korek rahsia sambil memasak’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keinginan memiliki program masakan sendiri sudah lama terpendam dalam sanubari pengacara, pelakon dan penyanyi popular, Elly Mazlein, 41.

Namun, ia hanya termakbul selepas dua dekad Elly bergelar anak seni. Lamaran syarikat produksi, Mache Allstar United Sdn Bhd untuk mengendalikan program masakan, Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom boleh diumpamakan seperti bulan jatuh ke riba.

Program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom yang bersiaran setiap hari, jam 12.30 tengah hari sepanjang Ramadan di RTM. Program kendalian Elly itu menggantikan program Ketuk Ketuk Ramadan yang disiarkan sejak 15 tahun lalu.

Tidak berani menjanjikan bulan bintang, namun Elly berharap, program kendaliannya itu bakal muncul ‘trending’ di saluran RTM, apatah lagi, sudah lama tidak muncul menerusi saluran berkenaan.

Elly berkata, dia sudah lama menanti memiliki program masakan sendiri, namun sudah bersedia berdepan dengan perbandingan yang bakal dibuat penonton dengan program masakan terdahulu.

Baginya, dia yakin memiliki cara tersendiri.

“Saya sedar pasti ada yang membandingkan program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom dengan program masakan terdahulu.

Bagaimanapun, saya hanya ingin memandang dari sudut positif.

“Berilah program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom peluang kerana ia masih baharu, tetapi saya terbuka menerima komen yang membina daripada penonton.

“Saya tidak kisah jika dibandingkan sekurang-kurangnya dapat juga belajar memperbaiki kekurangan yang ada. Selain masakan, kami membawakan beberapa segmen menarik seperti mengundang artis jemputan, setiap episod.

“Sambil memasak saya akan mengorek kisah sensasi artis undangan dengan diselitkan elemen komedi. Selain masakan, penonton dapat melihat aksi mencuit hati daripada artis undangan,” katanya kepada BH Online.

Pemilihan artis serba boleh, itu mengendalikan program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom sepanjang Ramadan nyata sudah lama dinantikan stesen televisyen, RTM.

Program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom terbitan Mache Allstar United Sdn Bhd mula bersiaran sejak Ramadan pertama menggantikan program masakan popular, Ketuk Ketuk Ramadan yang bersiaran selama 15 musim.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek bersama Elly Mazlein dan Pengarah Urusan Mache Allstar United Sdn Bhd, Norley Aimi Nadiah Shaari pada gimik pelancaran program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom di Kelab Tasik Putrajaya. - NSTP/Hazreen Mohamad
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek bersama Elly Mazlein dan Pengarah Urusan Mache Allstar United Sdn Bhd, Norley Aimi Nadiah Shaari pada gimik pelancaran program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom di Kelab Tasik Putrajaya. – NSTP/Hazreen Mohamad

 

Ketua Penolong Pengarah Unit Kandungan Kreatif Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suhana Suratman berkata, RTM sememangnya sudah lama menantikan peluang bekerjasama dengan Elly kerana bakat serta populariti, pengacara serba boleh itu sejak kebelakangan ini.

“Sepanjang bulan Ramadan, program masakan antara rancangan paling ditunggu penonton setia RTM. Biarpun disiarkan pada waktu tengahari, tetapi program masakan mendapat jumlah tontonan yang tinggi.

“Jadi, apabila menerima permohonan produksi Mache Allstar untuk menayangkan program masakan yang dikendalikan pengacara berbakat, Elly, tentulah RTM sangat teruja.

“Ini kerana kami sudah lama menantikan peluang untuk bekerjasama dengan Elly,” kata Suhana yang ditemui pada majlis pelancaran program Senduk Kuali Kak Lina di Putrajaya, baru-baru ini.

Program sebanyak 29 episod yang mendapat tajaan syarikat pengeluar minyak Kijang Gold itu menemui penonton selama setengah jam pada 12.30 tengahari, setiap hari.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mache Allstar United Sdn Bhd, Norley Aimi Nadiah Shaari berkata, dia tidak risau wujud perbandingan antara program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom dengan program masakan popular, Ketuk Ketuk Ramadan.

Katanya, program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom mempunyai kelainan dan cita rasa tersendiri berbanding program masakan lain.

“Saya yakin program kendalian Elly mempunyai kekuatan yang tersendiri. Saya cuba lari daripada program masakan yang tipikal, menu yang dihidangkan juga berbeza dengan program masakan sedia ada.

“Saya memperkenalkan menu yang mudah memberi idea, khususnya kepada golongan muda mencuba resipi baharu. Ia bertujuan untuk menarik minat mereka ke dapur. Kami juga ingin membuktikan memasak bukanlah kerja sukar,” katanya.

Program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom sempat menjalani penggambaran sebanyak 80 peratus sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Januari lalu. Musim kedua program itu sudah pun menjalani sesi pitching di RTM, baru-baru ini.

Norley berkata, mereka menjanjikan pengisian lebih menarik untuk musim kedua. Salah satu daripadanya dengan membawakan kumpulan dikir barat ke dalam program berkenaan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat