Informatik Visual Pacu Pertumbuhan Industri Tradisional dan Baharu – Annuar

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Informatik visual tidak disangsikan lagi merupakan satu daripada elemen utama yang akan meningkatkan pertumbuhan kebanyakan industri tradisional dan baharu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Ini merangkumi sektor pertanian, pembuatan, penjagaan kesihatan dan komunikasi serta bidang seperti informatik tenaga, teknologi dron, teknologi pintar dan keselamatan siber,” katanya.

Dalam ucapan beliau di Persidangan Informatik Visual Antarabangsa Ketujuh 2021 (IVIC’21) yang dihoskan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dekat sini hari ini, Annuar menekankan waima apapun teknologi yang diguna pakai, soal pengguna perlu diambil kira.

“Saya rasa kita perlu meletakkan diri kembali kepada suatu semakan realiti. Kita perlu memastikan tidak kira apa teknologi yang diguna pakai sudah mengambil kira mereka yang akan menggunakannya, termasuk kelompok masyarakat seperti Orang Asli, penduduk Sabah dan Sarawak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Kumpulan B50,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa universiti dan pusat kecemerlangan untuk bekerjasama dengan industri dan kerajaan bagi memperkukuhkan pendidikan digital dan mewujudkan program baharu dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ini kerana Malaysia masih kekurangan dalam bekalan dan permintaan bakat teknologi sumber manusia untuk disesuaikan dengan bentuk pekerjaan baharu dan masa hadapan yang memenuhi kemahiran dan pengetahuan yang diharapkan dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), katanya.

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), beliau berkata pelan transformasi ekonomi digital kerajaan termasuk lebih banyak suntikan kreativiti, inovasi dan promosi kemahiran sains data dan kemahiran pemikiran perkomputeran menerusi sistem pendidikan.

“Ini akan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan, teknologi dan kemahiran berfikir aras tinggi, selain daripada iltizam dan pemindahan kemahiran yang membolehkan mereka menjadi tangkas untuk bergerak antara industri dan lebih berdaya tahan kepada bentuk pekerjaan baharu,” kata beliau.

Dengan Malaysia mengorak langkah ke arah menjadi sebuah negara yang dipacu data digital, Annuar berkata banyak inisiatif sudah diambil untuk mengambil peluang kemunculan teknologi bagi menarik pelaburan ke dalam negara.

Ini termasuk pembangunan modal insan dalam inisiatif sains data, inisiatif perkongsian data kebangsaan dan pergerakan #SayaDigital oleh kerajaan menerusi pelbagai agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Annuar berkata Malaysia telah mendukung teknologi baharu dalam sektor awam dan swasta termasuk pembangunan e-kerajaan, telekesihatan dan kad pintar serba guna selain daripada mengadakan sekolah pintar dengan lebih daripada 4,500 syarikat dan institusi telah menerima status Koridor Raya Multimedia (MSC).

“Setakat 2020, program MSC Malaysia menjana pendapatan lebih daripada RM500 bilion sementara ekonomi digital Malaysia disasarkan mencapai RM75 bilion dalam sumbangan pendapatan negara kasar daripada inisiatif transformasi digital menjelang 2021,” katanya.

Beliau berkata MDEC juga akan memacu pembangunan MSC 2.0 untuk melonjakkan ekonomi digital negara dan menarik lebih banyak pelaburan digital.

Annuar juga melancarkan Peta Hala Tuju Penyelidikan UNITEN 2021-2025 yang akan menjadi sumber utama rujukan untuk semua penyelidik dalam universiti itu bagi menyelaraskan usaha-usaha dalam penyelidikan, pembangunan, inovasi dan aktiviti perkomersialan UNITEN sebagai sebuah universiti yang bertumpu kepada tenaga global dalam lima tahun akan datang.

IVIC’21 merupakan satu sidang antarabangsa selama tiga hari yang bermula hari ini dengan tumpuan kepada pemvisualan, kejuruteraan, keselamatan siber serta pembelajaran mesin dan informatik tenaga. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat