Setelah mencipta sejarah dan memukau ribuan peminat melalui DATO’ M.NASIR CIPTA 1 dan CIPTA 2, ikon muzik Nusantara, Dato’ M. Nasir, kembali meneruskan naratif seni agungnya dengan persembahan klimaks DATO’ M.N46IR CIPTA 3. Lebih dari sekadar konsert, acara ini bakal menjadi keraian agung rock n’ roll, satu penghormatan buat warisan seni beliau yang telah melintasi generasi. Dan lebih istimewa, 27 September 2025 di Axiata Arena bakal menjadi saksi satu malam yang bukan sahaja epik, tetapi kemungkinan besar akan dikenang sebagai salah satu detik terpenting dalam sejarah muzik tanah air.
Jika CIPTA 1 adalah satu permulaan berani yang berjaya menarik lebih 8,000 peminat menyemarakkan Axiata Arena pada Ogos 2024, CIPTA 2 pula membuktikan bahawa fenomena M.Nasir tidak pernah pudar. Masih segar dalam ingatan peminat apabila pentas konsert CIPTA 2 ditutup dengan detik luar biasa – ribuan helai wang kertas RM1 melayang ke udara ketika lagu raya berkumandang, menjadikan malam itu simbolik, penuh makna, dan sarat nostalgia. Momen itu bukan sahaja menamatkan konsert dengan penuh emosi, malah menjadi inspirasi kepada konsert spin-off istimewa, DATO’ M. NASIR CIPTA RAYA, yang berlangsung pada April 2025.
Namun semua itu hanyalah permulaan kepada apa yang bakal menjadi penutup trilogi yang luar biasa –DATO’ M.N46IR CIPTA 3. Dengan sokongan strategik Etiqa sebagai rakan utama, konsert ini bakal mengetengahkan sisi rock Dato’ M.Nasir yang belum pernah ditonjolkan secara menyeluruh sebelum ini. Bertemakan “Malam Ini Gua Rock”, konsert kali ini memberi penghormatan kepada sumbangan besar beliau dalam membentuk identiti muzik rock Malaysia – bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi lebih penting lagi sebagai komposer dan pencipta karya yang membentuk DNA muzik tempatan.
Bagi generasi yang membesar dengan lagu-lagu seperti Sejati, Intanku Kesepian, dan Pawana, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa di balik nyanyian Wings dan Search, ada sentuhan emas M.Nasir sebagai pencipta. Kini, buat pertama kali, peminat akan menyaksikan bagaimana karya-karya ini ditafsir semula oleh penciptanya sendiri, dalam gaya dan sentuhan seni unik beliau yang sentiasa penuh elemen kejutan dan spiritual.
“Konsert ini bukan semata-mata nostalgia,” kata Iman Tang, Pengasas Icon Entertainment. “Ia adalah satu bentuk penghargaan terhadap akar seni rock tanah air yang pernah meledak di era 80an dan 90an, dan M.Nasir adalah antara arkitek utama di sebalik kebangkitan itu.”
Berbeza daripada dua konsert sebelumnya yang memberi ruang lebih luas kepada pelbagai genre dan tema, DATO’ M.N46IR CIPTA 3 fokus kepada satu elemen yang benar-benar dekat di hati peminat – lagu-lagu rock yang mencengkam jiwa, yang membangkitkan semangat, dan yang menjadi nadi kepada evolusi muzik Malaysia.
Bukan sekadar persembahan lagu, konsert kali ini turut mengangkat tema “Rock Cara Lu… Janji Rock” sebagai dress code rasmi satu seruan kepada para penonton untuk tampil dalam gaya rock masing-masing. Ia bukan sekadar penampilan luaran, tetapi simbol kebebasan dan keberanian nilai-nilai yang selalu dijulang dalam muzik rock itu sendiri.
Tiada jangkaan konvensional, tiada piawaian tertentu. Rock kali ini adalah tentang keberanian untuk menjadi diri sendiri, tentang menghargai jalan hidup yang penuh warna dan kisah.
Harga tiket bermula dari RM258 hingga RM628, menampilkan kategori unik seperti TEGUH, OPERA HIDUP, ISI DAN KULIT, SEJATI, GADISKU dan PAWANA semuanya diambil daripada judul-judul karya ikonik ciptaan M.Nasir. Tiket boleh dibeli melalui www.ticket2u.com.my/mnasircipta3, dan pra-jualan khas dibuka pada 3 Julai 2025 melalui aplikasi Etiqa+, diikuti jualan umum pada 4 Julai 2025, jam 11 pagi.
DATO’ M.N46IR CIPTA 3 bukan hanya persembahan muzik. Ia adalah kapsul masa, satu perjalanan menyingkap kehebatan seorang seniman yang telah membentuk landskap seni Malaysia selama lebih empat dekad. Jika anda pernah menangis, tertawa, berfalsafah atau memberontak kepada bait-bait lagu ciptaan M.Nasir, maka ini adalah malam untuk anda.
Mungkin selepas ini, M.Nasir akan kembali menyepi, atau memilih projek-projek lebih bersifat peribadi. Tetapi malam 27 September 2025 akan kekal sebagai detik di mana sang sifu membuka lembaran terakhir konsert trilogi agungnya – bukan untuk menutup cerita, tetapi untuk mewariskan semangat rock kepada generasi seterusnya.
Kerana dalam dunia seni M.Nasir, setiap nota, setiap lirik, dan setiap persembahan adalah sebuah warisan.
Malam Ini Gua Rock. Dan gua takkan lepaskan peluang ini.
INFO KONsert:
- Acara: DATO’ M. N46IR CIPTA 3
- Lokasi: Axiata Arena, Bukit Jalil
- Tarikh: 27 September 2025
- Masa: 8.00 malam
- Tiket: RM258 – RM628
- Dress Code: Rock Cara Lu… Janji Rock
- Pra-jualan (aplikasi Etiqa+): Khamis, 3 Julai 2025, 2.00 petang
- Jualan Umum: Jumaat, 4 Julai 2025, 11.00 pagi
- Laman rasmi tiket: ticket2u.com.my/mnasircipta3
- Hotline WhatsApp: 012 6530 700