Wang RM170 juta, 16 kg jongkong emas terkait PM9 akan dilucut hak, tunggu tindakan lanjut TPR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kesemua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam ‘safehouse’ yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal dilucutkan hak.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.

Azam turut mengesahkan, kes membabitkan Ahli Parlimen Bera itu juga sudah selesai dan kini bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuat pertuduhan berkaitan jenayah membabitkan Ismail Sabri.

“Setakat ini, TPR bersetuju untuk difailkan proses pelucutan aset yang dirampas itu dalam tempoh seminggu atau dua lagi selepas kita kemukakan afidavit untuk melucutkan hak.

“Saya juga sahkan kes membabitkan Ismail Sabri sudah selesai disiasat dan bergantung kepada TPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya lapor BH pada Rabu.

Azam berkata, aset yang akan dilucutkan hak adalah seperti yang ditunjukkan kepada wartawan dalam sidang akhbar Mac lalu.

Beliau berkata, ketika ini terpulang kepada Ismail Sabri untuk mencabar proses pelucutan hak aset yang dirampas itu.

Pada sidang media Mac lalu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.

SPRM berkata, wang tunai dirampas itu membabitkan nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan termasuk juga jongkong emas dan barangan kemas.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat