Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan -SuaraTV

KUALA LUMPUR- Bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan bukan boleh ditentukan oleh parti politik sebaliknya ia wajar diputuskan oleh Jemaah Menteri,” kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, sebarang keputusan mengenai pilihan raya itu akan diputuskan Jemaah Menteri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan memandangkan negara masih lagi dalam fasa endemik Covid-19.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, mengikut perlembagaan, Jemaah Menteri akan menentukan bila sepatutnya PRU perlu diadakan.

“Keputusan perlu datang daripada Kabinet.

“Bukan daripada mana-mana parti politik, kerajaan akan tentukan bila masa sesuai untuk membuat pertimbangan memandangkan kita masih lagi dalam fasa endemik,” katanya pada Selasa.

Ketika ditanya sama ada PAS akan kembali semula kepada penyatuan ummah bersama UMNO menjelang PRU15, Takiyuddin pada dasarnya berkata beliau terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama politik yang mampu membawa kepada kestabilan politik.

“Dalam politik ini tujuannya untuk capai kestabilan dalam negara. Apa saja amalan yang bawa kestabilan dalam negara itu adalah satu amalan yang baik bagi saya.

“Macam kita di pusat, kita boleh bekerja dengan semua parti politik dalam satu kerajaan dan pada masa sama dalam pilihan raya di Melaka, kita bertembung satu sama lain. Ini bagi saya satu formula yang baik, satu amalan demokrasi yang baik dan jika perlu satu perdamaian yang baru dalam politik, bagi saya semua harus positif,” katanya.

Ahad lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan PRU15 diadakan dalam masa terdekat selepas mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu sebaik BN memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Pada PRN Melaka, PAS bertanding bawah logo Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu dan Gerakan. Parti Islam itu mempertaruhkan lapan calon namun tidak memenangi sebarang kerusi, mengulangi rekod PRU14 pada 2018.