KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Masjid Rusila nafi menerima sebarang permohonan atau makluman daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhubung aktiviti latihan taktikal oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), pada 19 Sept.
Semalam, Ketua Pengarah Maritim Malaysia Mohd Rosli Abdullah nafi melaksanakan serbuan ke atas Masjid Rusila, Marang, pada tarikh berkenaan, seperti didakwa Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menyatakan agensi itu menjalankan latihan di kawasan terbabit dan pihak pengurusan masjid telah dimaklumkan mengenainya.
Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Rusila, Mohd Azri Abdul Aziz menjelaskan, pihak masjid tidak pernah menerima sebarang permohonan atau pemakluman apa-apa aktiviti dinyatakan dalam kenyataan tersebut, sama ada secara lisan ataupun secara bertulis.
Katanya, pihak polis mengesahkan bahawa Maritim Malaysia tidak menjalankan sebarang aktiviti di situ pada tarikh tersebut. Jawatankuasa masjid kemudiannya memutuskan untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
“Justeru, pihak masjid telah mengambil keputusan membuat laporan polis terhadap kejadian tersebut. Setelah itu barulah kami menerima pemakluman lisan dan permohonan maaf melalui telefon daripada pihak Maritim Malaysia.
“Pihak masjid sangat kecewa dengan sikap dan tindakan tidak profesional ditunjukkan Maritim Malaysia dalam menangani isu ini,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, berkata seramai 10 hingga 15 anggota Maritim menaiki lima buah kenderaan dan memasuki pekarangan Masjid Rusila pada 19 Sept tanpa kebenaran.
“Apabila ditegur oleh orang ramai yang berada disitu mereka menjawab kami polis. Masuk dalam masjid pakai kasut, memasuki kawasan (solat) perempuan dan melakukan penggeledahan dan sebagainya menimbulkan rasa cukup tidak senang dikalangan rakyat yang berada di situ,” katanya menurut Malaysiakini.
Namun, dalam kenyataan semalam, Rosli menjelaskan masjid berkenaan hanya menjadi lokasi pelatih beriktikaf dan berehat selepas solat Asar sebelum tugasan seterusnya, malah, pihak masjid juga dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada gangguan terhadap jemaah atau aktiviti keagamaan berlaku.
Tambah Rosli, tiada sebarang kekerasan atau tindakan tidak wajar dilakukan seperti didakwa, malah elemen keagamaan turut diterapkan dalam latihan untuk membentuk jati diri serta integriti anggota.



