SEREMBAN – Tiada pertuduhan dibacakan terhadap Dato’ Mubarak Thahak @ Dohak di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas peguamnya memohon supaya persoalan perlembagaan mengenai kedudukan seorang Undang di Negeri Sembilan dirujuk ke Mahkamah Tinggi.
Menurut peguam Azam Aziz, Hakim Mahkamah Sesyen mendengar dan mempertimbangkan hujah yang dikemukakan peguam Asmawi mengenai bidang kuasa mahkamah untuk membicarakan Mubarak, yang kedudukannya sebagai Undang Luak Sungei Ujong dipertikaikan.
Asmawi membangkitkan persoalan sama ada seorang Undang merupakan Raja Pemerintah bersama di Negeri Sembilan menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Sekiranya seorang Undang mempunyai kedudukan sedemikian, persoalan seterusnya ialah sama ada mahkamah selain Mahkamah Khas mempunyai bidang kuasa untuk membicarakannya atas sesuatu perbuatan.
Azam tidak menyatakan sama ada hakim telah memutuskan permohonan untuk merujuk persoalan itu ke Mahkamah Tinggi. Mubarak sebelum ini dijadual menghadapi pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 hari ini.
Kedudukan Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong menjadi pertikaian selepas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 17 April lalu memutuskan bahawa pelucutan beliau daripada jawatan itu menepati adat luak berkenaan. Mubarak bersama Undang Jelebu, Johol dan Rembau mempertikaikan keputusan tersebut.
Pada 19 April, Mubarak bersama tiga Undang berkenaan mengeluarkan pengisytiharan menyeru Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Mereka kemudiannya menyatakan sokongan kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Pada Oktober lalu, pemberhentian Mubarak sebagai Datuk Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong ke-10 diwartakan.



